Tidak biar pihak cemar sungai terlepas begitu sahaja

- Advertisement -

KANGAR: Sungai yang menjadi sumber utama kehidupan rakyat boleh dielakkan daripada tercemar sekiranya semua pihak bertanggungjawab mengelakkan situasi itu berlaku.

Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man berkata, pencemaran berlaku disebabkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah dalam kalangan kita.

Katanya bukan sahaja rakyat yang terbabit sebaliknya lebih teruk lagi apabila pemilik industri membuang sisa kimia ke dalam saliran.

- Advertisement -

“Masalah itu bukan mudah untuk diselesaikan. Ia memerlukan kesedaran tinggi dalam kalangan rakyat termasuk mereka yang mempunyai premis perniagaan daripada membuang apa sahaja ke dalam sungai,” katanya di Kompleks Dun Perlis semalam.

Pada Ahad lepas Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis mengambil sampel air di Sungai Ngulang selepas menerima aduan orang ramai mengenai warna air bertukar menjadi hitam.

Sampel air itu dihantar ke Jabatan Kimia di Alor Setar untuk mengenal pasti punca pencemaran. Kerajaan tidak menolak ia disebabkan aktiviti industri serta kegiatan penanaman sawah padi berdekatan sungai terbabit.

Azlan juga berkata, Sungai Ngulang yang dilapor tercemar boleh diselamatkan dengan kerjasama semua pihak termasuk pihak berkuasa dan penduduk tempatan.

Katanya jika semua pihak mempunyai kesedaran tinggi dan memahami undang-undang maka pencemaran tidak akan berlaku.

“Perasaan tanggungjawab perlu ada, kita boleh memulihkan pencemaran sungai dengan kesedaran semua pihak yang prihatin,” ujarnya.

Manakala dalam perkembangan berkaitan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Teh Chai Aan berkata, punca pencemaran sungai masih belum dapat dikenal pasti.

Bagaimanapun katanya kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati melakukan pencemaran.

“Kita mengambil serius aduan orang ramai dan tidak akan membiarkan pelaku terlepas begitu sahaja,” katanya ketika dihubungi. – HARAKAHDAILY 17/3/2021

- Advertisement -