Pengusaha harumanis perlu miliki sifat istiqamah

- Advertisement -

KANGAR: Harumanis atau bahasa orang kampung sebut haromaneh. Ia sejenis kultivar mempelam yang sesuai ditanam di Indonesia dan Malaysia.

Harumanis kaya dengan vitamin A baik untuk kesihatan mata, tubuh badan serta antipenuaan.

Selain itu harumanis juga kaya vitamin B yang diperlukan untuk membantu pertumbuhan dan perkembangan tubuh kerana mengandungi magnesium (membantu sistem pencernaan dan sistem saraf), potassium (meningkat stamina dan tenaga) dan kuprum (pertumbuhan tulang, fungsi saraf dan perkembangan otak).

Khasiat yang agak luar biasa itu membuatkan harumanis sentiasa mendapat permintaan tinggi, di mana musimnya bermula April hingga Jun setiap tahun.

Permintaannya juga tetap tinggi walaupun negara masih berdepan pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Seorang pengusaha ladang harumanis, Muhammad Mustaqim Abdullah, 37 berkata, kemudahan teknologi dimanfaat bagi memperluaskan pemasaran harumanis.

“Media sosial sebagai jalan keluar untuk memudahkan urusan pemasaran, contohnya melalui Aplikasi Agro Bazar, Shopee, Lazada dan sebagainya.

“Perlu ada kerjasama antara pengusaha dan syarikat penghantaran supaya tidak berlaku lambakan seperti tahun lepas sehingga buah rosak.

“Tahun lepas lambakan buah berlaku di syarikat penghantaran dan tahun ini kita berharap tidak berlaku lagi,” katanya ketika ditemui di sini.

Mengapa buah mangga itu dikenali sebagai harumanis. Jawapannya kerana ia mengeluarkan aroma yang harum dan rasa manis.

Isinya tebal kekuningan enak dimakan bersama pulut sebagai salah satu sajian tradisi di Perlis. Juga enak dimakan begitu sahaja atau diproses dalam bentuk jus atau jem.

Mustaqim mewarisi perusahaan ayahnya, Abdullah Lebai Isa yang dijenamakan sebagai Perusahaan Abdullah Sekeluarga (PAS) sejak 1987.

Ketika itu orang ramai belum mengenali Harumanis. Jabatan Pertanian membantu pekebun mengusahakan ladang dengan memberi tunjuk ajar.

“Harga pemasaran harumanis ketika itu bermula RM4 sekilogram dan perlu meluaskan pasaran sehingga ke luar negeri kerana masih ramai yang belum kenal,” katanya.

Ia bermula RM4 sekilogram dan sekarang meningkat kepada RM50 hingga RM60.

Berkongsi pengalaman mengusahakan buah-buahan itu Mustaqim memberitahu penjagaan perlu dilakukan sepanjang tahun.

Buah-buahan itu hanya sesuai ditanam di Perlis kerana tanaman tersebut sesuai dengan iklim sub tropika. Ia dikenali sebagai Perlis Signature Fruits.

Pengusaha harumanis perlu mempunyai sifat istiqamah kerana proses penjagaan begitu rapi.

“Pengusaha-pengusaha harum manis boleh dikatakan mereka yang istiqamah, kalau buat separuh jalan memang tidak akan menjadi.

“Pokok-pokok yang lama perlu dicantas untuk mengeluarkan ranting yang baru, kemudian disembur dengan penggalak bunga.

“Apabila pokok mula berbunga, ia perlu ditongkat menggunakan kayu, jika tidak menyebabkan ranting akan patah,” katanya.

Harumanis mengambil masa 90 hari untuk matang dan boleh dituai apabila mencapai gred kemanisan yang tinggi. – HARAKAHDAILY 17/3/2021

- Advertisement -