KUCHING: Kerajaan mewujudkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) bagi mengatasi keciciran pelajar terutamanya di kawasan luar bandar.
Langkah serupa juga dilaksanakan kerajaan Sarawak dengan memperkasakan pendidikan luar bandar sebagai teras utama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.
Adun Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni berkata, kualiti pendidikan di setiap kawasan sama ada bandar dan luar bandar sepatutnya sama rata tanpa sebarang perbezaan.
Katanya perkara itu perlu kesedaran tinggi ibu bapa di mana sekarang dianggap kurang perhatian sesetengah daripada mereka terhadap kepentingan pendidikan.
“Isu kesukaran mengubah persepsi terhadap pendidikan, kemiskinan keluarga, sikap pelajar, kekurangan bahan bantu mengajar, kemudahan infrastruktur menyebabkan berlaku keciciran pelajar.
“Begitu juga kesukaran saluran teknologi turut menyebabkan wujudnya jurang pendidikan tersebut,” katanya selepas menyampaikan sumbangan dana tahunan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bako di sini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut berusaha mewujudkan suasana persekolahan yang selesa bagi manfaat semua pihak.
Selain itu kerajaan juga menyalurkan pelbagai bantuan termasuk Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), makanan, perjalanan, pengangkutan, Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).
Selain itu Baucer Tuisyen, Biasiswa Kecil Persekutuan, (BKP) dan asrama harian sebagai motivasi menarik pelajar datang ke sekolah.
“Semua itu untuk kemudahan pelajar di samping meringankan beban keluarga serta memberi motivasi tinggi kepada guru,” ujarnya.
Pada majlis itu Dr Hazland menyerah sumbangan dana tahunan sebanyak RM10,000 dan RM100,000 bagi naik taraf tiga projek di SMK Bako. Hadir sama Pengetua SMK Bako Yusri Tokis. – Edisi UKAS
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!