Kunjungan hormat ke atas Mursyidul Am PAS

ARAU: Setiausaha Politik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Ustaz Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin di kediaman Pesuruhjaya PAS Perlis di sini, hari ini.

Turut serta semasa kunjungan hormat itu adalah Ahli Jawatan Kuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Muhammad Najhan Syahir Abdul Halim dan Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Menurut Ustaz Mohd Kamal Nazmi, pertemuan itu antara lain bagi membincangkan Isu-isu semasa terutamanya dalam usaha kerajaan mendepani pandemik Covid-19.

Advertisement

Selain itu katanya pertemuan itu juga membincangkan mengenai usaha kerajaan dan kementerian KPPK dalam membantu pelbagai lapisan masyarakat yang hari ini berdepan tekanan ekonomi akibat kesan pandemik Covid-19.

Kata Ustaz Mohd Kamal Nazmi lagi, pertemuan itu juga sebagai wadah mendapatkan pandangan serta nasihat Tuan Guru Hashim Jasin mengenai perjalanan politik dan isu semasa.

Tuan Guru Haji Hashim dilantik sebagai Mursyidul Am PAS pada 9 Oktober 2016 bagi menggantikan Almarhum Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din yang meninggal dunia pada 16 September 2016.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Arau 1998, Hashim telah memenangi kerusi Parlimen Arau dengan majoriti 1,323 undi mengalahkan calon BN, Ismail Kassim

Kemudian pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, Hashim telah memenangi kerusi DUN Sanglang dengan majoriti 45 undi, mengalahkan calon BN, Dato’ Mastika Junaidah Husin.

Sementara itu, pada PRU ke-13, Hashim Jasin sekali lagi memenangi DUN Sanglang selepas Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan DUN Sanglang dimenangi oleh beliau dan kemenangan calon BN, Abdullah Hassan pada 8 Mac 2008 dibatalkan. – HARAKAHDAILY 17/3/2021