Kerajaan pinda Akta 342, SOP bendung Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan pindaan Seksyen 25 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berkaitan kompaun kesalahan bagi pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) untuk membendung penularan Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, pindaan itu menetapkan tiga kategori kesalahan iaitu tinggi, sederhana dan normal.

“Kerajaan memutuskan tiga kategori kesalahan bawah Akta 342. Pertama, kesalahan yang menyebabkan risiko penularan tinggi atau memberi impak jangkitan Covid-19 kepada komuniti pada skala besar.

“Kedua, kesalahan yang menyebabkan risiko penularan yang tinggi, namun tidak memberi impak jangkitan kepada komuniti.

“Ketiga, kesalahan boleh menyebabkan risiko penularan jangkitan Covid-19 yang rendah dan tiada kesan langsung kepada penularan dalam komuniti,” katanya pada sidang media, hari ini.

- Advertisement -

Takiyuddin berkata bagi individu yang telah melakukan kesalahan memasuki pub atau kelab malam yang mana tidak dibenarkan oleh undang-undang akan dikenakan kompaun maksimum RM10,000.

Manakala, bagi peniaga yang ingkar perintah membuka pub atau kelab malam akan dikenakan kompaun maksimum RM50,000 dianggap kesalahan kategori tinggi.

Dalam pada itu, bagi kesalahan kategori kedua, iaitu masuk ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikenakan kompaun RM3,000 dan sekiranya enggan mematuhi perintah pegawai di kawasan PKPD akan dikenakan kompaun RM4,000.

Seterusnya, kategori ketiga (normal) yang melibatkan kesalahan individu kali pertama akan dikenakan kompaun RM1,500 membabitkan kesalahan seperti tidak mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau merekod butiran diri ketika memasuki premis, tidak memakai pelitup muka dan gagal menjaga penjarakan fizikal.

Sementara itu, bagi kesalahan melibatkan syarikat atau premis yang tidak mematuhi waktu operasi boleh dikompaun RM10,000.

Kata Takiyuddin lagi, diskaun 50 peratus akan diberi bagi pembayaran dalam tempoh tujuh hari dan 25 peratus bagi bayaran dalam tempoh 14 hari, namun tiada pengurangan selepas tempoh berkenaan.

Tambahnya, bagi mereka yang tidak mampu membayar kompaun seperti OKU, pelajar berusia 18 tahun ke bawah, orang miskin dan berpenyakit kronik, mereka boleh mengemukakan rayuan menerusi beberapa saluran, iaitu Pengarah Kesihatan Negeri, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Kesihatan Awam), Pegawai Kesihatan Daerah dan Pegawai Kesihatan Epidomologi Daerah (bergantung pada lokasi).

Katanya lagi, pasukan penguatkuasa SOP akan melakukan pemantauan yang dianggotai polis, tentera, Rela dan penguatkuasa PBT.

“Team ini akan memberi nasihat, arahan supaya menjaga penjarakan sosial dilakukan, sekiranya ingkar lagi, barulah tindakan saman akan dikenakan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 17/3/2021

- Advertisement -