Vaksin Covid-19: Usaha kerajaan hasil diplomasi berkesan

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff menyifatkan melalui usaha diplomasi sains dan kerjasama strategik antarabangsa merupakan langkah kerajaan bagi mendapatkan akses bekalan vaksin Covid-19 dengan lebih terancang dan berkesan.

Jelasnya, akses bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 59.7 juta dos yang akan diberikan kepada hampir 80 peratus penduduk negara ini merupakan hasil kerjasama yang terjalin antara Malaysia dengan lima negara pengeluar vaksin Covid-19.

Ujarnya, usaha diplomasi sains digerakkan secara bersama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sejak April tahun lalu.

- Advertisement -

“Cuma proses itu memakan masa kerana ia memerlukan satu penelitian sehinggalah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ditubuhkan pada 23 Januari 2021 dan dilancarkan pada 16 Februari 2021.

“Jadi, kita lihat ada peringkat dan perancangan yang strategik dilakukan oleh pihak kerajaan, di mana ia bukanlah dibuat secara rambang tetapi melalui tiga fasa yang mana fasa pertama melibatkan 500,000 petugas barisan hadapan.

“Manakala, fasa kedua melibatkan golongan berisiko tinggi dengan sasaran 9.4 juta penduduk dan 13.7 juta melibatkan golongan berumur atas 18 tahun,” katanya dalam program Bicara Naratif yang disiarkan secara langsung di TV1, malam tadi.

Berdasarkan maklumat rasmi daripada Jawatankuasa Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), seramai 321,331 individu, majoritinya petugas barisan hadapan telah menerima suntikan pertama vaksin bagi PICK, sehingga semalam.

PICK dilaksanakan menerusi tiga fasa, bermula dengan kumpulan petugas barisan hadapan, disusuli kumpulan berisiko tinggi dan rakyat berusia 18 tahun ke atas, bermula 24 Februari lalu.

Ia bagi memastikan antara 70 hingga 80 peratus rakyat di negara ini menerima vaksin menjelang Februari tahun hadapan, sekali gus membentuk imuniti kelompok sekali gus mengekang penularan Covid-19. – HARAKAHDAILY 16/3/2021

- Advertisement -