Vaksin COVID-19 dicampur sel monyet dan janin?

- Advertisement -

VAKSIN COVID-19 jenama AstraZeneca dibuat dari Cimpanzi? Cimpanzi itu sejenis monyet yang berada di Afrika. Alergik betul pihak-pihak tertentu apabila adanya campur tangan haiwan dalam proses pembuatan vaksin. Mereka hanya pandai membaca kandungan tetapi tidak pun memahami apakah proses sebenar yang terjadi dalam pembuatan vaksin tersebut.

Sudah banyak kali diterangkan bagaimana penglibatan sel hidup itu dalam proses pembuatan vaksin. Konsep yang sama sahaja iaitu pembiakan sesuatu virus ia memerlukan tapak semaian sel hidup. Inilah hikmah Tuhan menjadikan haiwan di atas dunia ini mempunyai manfaat ke atas manusia. Mujur ada Cimpanzi, Green Monkey Africa dan lain-lain lagi, mereka dijadikan perumah untuk pembiakan virus tertentu.

- Advertisement -

Konsep yang hampir sama digunakan ke atas pembiakkan Lactobacillus (Susu Kultur) yang kita minum. Bakteria Lactobacillus tersebut dibiakkan dan diternak di atas agar yang dicampur ekstrak lembu. Jika kita ingin bertanya lebih adakah lembu yang digunakan itu disembelih ataupun tidak? Sudah tentu akan menimbulkan satu kesulitan bagi kita. Walhal produk yang terakhir tidak pun dimasukkan ekstrak lembu tersebut di dalam susu kultur Laktobasillus [1]. Apa yang kita minum semuanya telah dituras dan ditapis sebelum dia jadikan formulasi susu kultur yang sedap itu. Kena faham konsep ini supaya kita tidak terkeliru.

Apa sebenarnya terjadi di dalam pembuatan vaksin keluaran Syarikat AstraZeneca? Boleh lihat gambar yang saya lampirkan ini.

(1) Adinovirus adalah sejenis virus yang tidak bahaya dan tidak mendatangkan mudarat sama ada menyebabkan cacat ataupun kematian. Virus bernama Adenovirus itu diambil dari spesies Cimpanzi. Struktur badan Adenovirus hampir sama dengan virus Corona (SARS-CoV-2) yang mempunyai sesungut (Spike).

(2) Adenovirus tadi ‘ditabur’ ke atas sel ginjal janin manusia (HEK) untuk sebagai tapak pembiakan virus tersebut. Perolehan sel HEK ini telah melepasi etika dan kelulusan pihak berkuasa. Bukan sengaja mencari janin untuk dibunuh dan dijadikan tapak pembiakan virus.

(3) Setelah Adenovirus tadi membiak dengan banyaknya kemudian ianya dipetik untuk dituras (ultra-filtration) berpuluh kali dan di disucikan (purification). 

(4) Adinovirus yang betul-betul tulin dan suci tersebut digunakan untuk dijadikan vektor asas pembuatan vaksin. Hasil akhir setelah ditulenkan tidak pun mengandungi tapak semaian dari sel janin tersebut.

(5) Kod genetik Spike dari virus COVID-19 (SARS-CoV-2) akan diambil dan digabungkan ke dalam kod genetik Adenovirus tadi (Genitically Modified Organism). Ini menjadikan Adenovirus + SARS-CoV-2 itu pencetus kepada pembentukan antibodi apabila dimasukkan ke dalam badan manusia. Tindak balas immunogenisiti ini akan berlangsung sehingga pembentukan antibodi tercapai secara maksimum.

Inilah complexity dan kecanggihan teknologi dalam dunia perubatan yang kekadang kita bagi orang awam ini amat sukar untuk memahaminya. Tetapi bagi saintis yang telah lama terlibat dalam bidang ini, ia adalah sesuatu yang mudah bagi mereka.

Untuk makluman kaedah ini bukan sahaja bagi pengeluaran vaksin AstraZeneca sahaja, tetapi pengeluaran vaksin lain seperti Cansino, Sputnik V, Jannsen dan beberapa lagi dalam proses ujikaji klinikal. Syarikat pengeluar menggunakan konsep dan kaedah teknologi yang sama dalam penghasilan vaksin.

Semoga masyarakat tidak mudah terpengaruh dan terkeliru dengan penerangan daripada pihak-pihak yang tertentu yang sengaja memutar-belitkan fakta dan memburuk-burukkan kaedah penghasilan vaksin.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 16/3/2021

Rujukan:
[1] Sagar Aryal. Lactobacilli MRS Broth. Microbe Notes. May 26, 2019
[2] Sanjay Mishra. Oxford-AstraZeneca vaccine is cheaper than Pfizer’s and Moderna’s and doesn’t require supercold temperature. The Conversation Online. November 25, 2020.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -