‘No DAP, no PKR’: Kekal bersama MN hingga berjaya

- Advertisement -

DARI An-Nu’man bin Basyir dia berkata; Rasulullah S.A.W bersabda:

- Advertisement -

“Perumpamaan orang-orang Mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya).”

(Hadis Riwayat Muslim No: 4685) Status: Hadis Sahih.

Sejak termeterai Piagam Muafakat Nasional 2019 lalu kerjasama dan permuafakatan antara kedua parti Melayu Islam terbesar dalam negara iaitu PAS dan Umno terus terjalin dari peringkat tertinggi menjalar hingga ke akar umbi.

Keakraban ukhuwah ini cukup luar biasa buat ahli-ahli yang merupakan musuh politik sejak 6 dekad sebelumnya. Permuafakatan ini mendapat sambutan baik rakyat jelata khususnya di kalangan umat Melayu lantas tidak hairanlah pihak musuh cukup kacau dan bimbang melihatnya. Justeru saban hari permuafakatan ini cuba diganggu dan digagalkan oleh mereka yang tidak senang melihat umat Melayu Islam bersatu.

Terbaru sedang digerakkan jarum saraf yang cukup licik mengadu-domba dan menimbulkan curiga-mencurigai antara PAS dan Umno. Umno kononnya mahu meninggalkan MN dan bakal bersekongkol dengan PKR dan Anwar Ibrahim dalam langkah jajaran baru politiknya.

Kerja-kerja ini semata-mata bermatlamat mencetuskan ketegangan antara hubungan baik yang sedia terjalin antara PAS dan Umno. Saya pasti kerja-kerja jahat ini mengganggu Umno. Terbaru sahabat saya Datuk Armand Azha Ketua Umno Bahagian Subang (saya YDP PAS Subang) dan ahli MT Umno dalam posting FB-nya menyebut:

“Saya konsisten dengan pendirian saya No DAP and No PKR, tak payah explain pada saya mengenai jajaran baru, saya tolak dan berpegang pada keputusan MKT.”

Saya simpati dengan concern sahabat saya itu yang sudah pasti bersungguh mahu memelihara hubungan dengan PAS. Atas semangat Hadis di atas yakinlah Datuk Armand dan ahli-ahli Umno yang lain bahawa PAS dan Umno adalah laksana satu tubuh. Insya-Allah kita sama-sama hadapi apa sahaja cubaan untuk merobohkan kesatuan besar umat Melayu Islam ini.

Tak Melayu hilang di dunia kata Laksamana Hang Tuah, bersama kita pertahankan MN ini hingga kekal mulia maruah agama, bangsa dan negara di bumi tercinta ini.

“No DAP No PKR”

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 16/3/2021

- Advertisement -