Isu ‘taik mesin’ perlu diselesaikan semua pihak

Foto daripada Youtube.
- Advertisement -

KANGAR: Pelbagai program advokasi telah dimulakan untuk menggalakkan pengusaha jentuai dan kenderaan membajak di Perlis agar lebih bertanggungjawab dalam menguruskan isu bongkah tanah atau ‘taik mesin’ yang ditinggalkan di atas jalan raya, setiap kali musim menuai dan menanam padi.

Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Perlis, Hamizan Hassan berkata bongkah lumpur yang dibiarkan di atas jalan raya itu amat membahayakan keselamatan pengguna jalan raya dan semua pihak perlu terlibat bagi menyelesaikan kemelut ini.

“Salah satu jalan penyelesaian bagi masalah ini ialah pengusaha jentuai dan kenderaan membajak perlu segera membersihkan ‘taik mesin’ agar ia tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata disebabkan tiada agensi atau badan khusus yang dipertanggungjawabkan dan mempunyai bidang kuasa bagi mengawal pengusaha jentuai, MKJR telah meminta bantuan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memberi kesedaran kepada pengusaha tentang tanggungjawab ini.

Bernama sebelum ini melaporkan isu jentuai meninggalkan ‘taik mesin’ di atas jalan raya bukan perkara baharu di negeri ini, malah sering menjadi keluhan orang ramai setiap kali musim menuai padi kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mengotorkan dan merosakkan struktur jalan malah mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal.

Mengulas itu berkenaan, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, pihaknya menjalankan advokasi menerusi operasi khas yang dilakukan dua kali setiap kali musim menuai.

“Kita lakukan operasi khas bagi mendidik dan memberi kesedaran kepada pengusaha dan pemandu jentuai bukan hanya perlu mematuhi undang-undang jalan raya tetapi juga agar lebih bertanggungjawab untuk tidak meninggalkan bongkah tanah atas jalan raya,” katanya.

Katanya, walaupun tiada kompaun dikeluarkan terhadap pengusaha dan pemandu jentuai menerusi operasi khas itu, JPJ telah melakukan advokasi melibatkan sembilan jentuai dan sebuah lori pengangkut pada 15 Feb lepas.

“JPJ telah memberi nasihat perundangan berkaitan pengoperasian mesin padi di sekitar daerah Kangar dan Padang Besar dan mendapati kumpulan sasar memahami dan menyambut baik pelaksanaan penguatkuasaan secara advokasi yang dilakukan JPJ,” katanya.

Namun demikian, katanya masih terdapat segelintir pengusaha jentuai yang enggan memberi kerjasama dengan membiarkan jalan raya dicemari lumpur dan bongkah tanah sawah.

“Tindakan penguatkuasaan yang tegas akan dikenakan kepada mereka yang masih ingkar mematuhi peraturan undang-undang lalu lintas berkaitan pengoperasian mesin padi di atas jalan raya termasuk menyita jentera mesin padi mengikut seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) akan dilaksanakan sekiranya program advokasi dan nasihat perundangan ini diabaikan oleh para pengusaha jentuai di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kamarudin Dahuli berkata MADA telah menubuhkan MADA Agriculture Service Provider (MASPRO) di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 bagi mendaftar pembekal perkhidmatan mekanisasi dan atuomasi ladang di bawah satu bumbung.

Fungsi MASPRO bukan hanya mengumpul data sebaliknya menjadi wadah untuk menaik taraf perniagaan dan operasi teknikal pembekal perkhidmatan dengan kerjasama dengan MADA.

“Sehingga kini, hampir 19 program telah dianjurkan melibatkan 630 peserta terdiri daripada petani dan pemilik jentuai, namun demikian MADA tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengawal aktiviti dan pergerakan jentuai,” katanya.

Mengikut data semasa MADA terdapat 249 pengusaha jentuai dan 687 unit jentuai di kawasan pengairan Muda.

“Bagi menjayakan program ini, MADA memerlukan penyertaan aktif dan kerjasama daripada pihak pembekal perkhidmatan bagi menaik taraf operasi pembekal agar ia lebih selamat dan profesional,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -