Merungkai isu perkahwinan bawah umur

- Advertisement -

PERSOALAN berkaitan perkahwinan bawah umur perlu difahami dengan jelas, dan perlu diberikan perhatian serius bagi memastikannya diurus sesuai dengan prinsip keadilan Islam. Kefahaman yang benar ini penting bagi mengelakkan fitnah oleh pihak yang sentiasa cuba memburuk-burukkan Islam dengan alasan kononnya Islam menganiaya kanak-kanak, menzalimi wanita dan ketinggalan zaman.

Selain itu, perkembangan dunia masa kini yang banyak dipengaruhi oleh budaya Materialisme, jurang ekonomi global, sistem sosial yang rapuh dan seumpamanya memerlukan kepada penelitian semula terhadap ijtihad-ijtihad yang lalu berkaitan dengan isu perkahwinan di bawah umur. Kini masalah penindasan dan penganiayaan kanak-kanak, terutamanya dari kalangan perempuan, menjadi masalah yang besar.

- Advertisement -

Biasanya masalah ini dikaitkan dengan soal kesihatan reproduktif dan seksual, kesihatan emosi dan mental, masalah perceraian, keganasan rumahtangga, hak pendidikan dan sebagainya. Walaupun di Malaysia, isu ini masih dianggap terpencil, namun ia tetap memerlukan perhatian serius bagi mengelakkan menjadi barah dalam sistem kekeluargaan.

Takrif dewasa

Isu perkahwinan kanak-kanak semakin hangat diperkatakan apabila kerajaan berusaha untuk menyelaraskan takrif dewasa dalam Undang-undang Keluarga Islam kepada 18 tahun. Pentakrifan ini dibuat bagi menyesuaikannya dengan takrif dewasa dalam kebanyakan undang-undang lain.

Selain itu, pentakrifan ini juga selaras dengan definisi dewasa menurut standard yang ditetapkan oleh agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam menentukan umur kelayakan berkahwin.

Data-data PBB dan badan-badan Antarabangsa lain berkaitan perkahwinan kanak-kanak, kebiasaannya merujuk mereka yang di bawah 18 tahun sebagai kanak-kanak. Di Malaysia, perbezaaan garis umur kelayakan berkahwinan di antara satu negeri dengan yang lain menjadikan dapatan berkaitan perkahwinan kanak-kanak tidak seragam dan kompleks.

Selain itu, persoalan perkahwinan bawah umur ini juga sering menjadi persoalan yang mencabar, apabila pihak yang memusuhi Islam gemar menjadikannya sebagai isu untuk memburuk-burukkan Islam. Sekali gus, mereka menjadikannya sebagai senjata untuk mengkritik Rasulullah S.A.W berasaskan perkahwinan Baginda dengan Sayyidatina Aisyah R.A. Mereka menggunakan fakta itu untuk menuduh kononnya Islam menganiaya wanita dan kanak-kanak.

Isu hangat

Di atas sebab-sebab yang dinyatakan ini, kita mendapati bahawa isu perkahwinan bawah umur atau perkahwinan kanak-kanak ini sentiasa menjadi bahan perbincangan hangat. Tulisan ini bertujuan untuk melihat isu perkahwinan kanak-kanak ini dari perspektif perundangan Islam sedia ada, dan apakah respon yang sesuai dalam menghadapi cabaran yang berlaku.

Di Malaysia, setiap negeri mempunyai peruntukan undang-undang yang berasingan. Walau bagaimana pun, kebanyakan Undang-undang Keluarga Islam menyediakan mekanisme perundangan yang hampir sama. Sebagai contoh, kita boleh merujuk Seksyen 8 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan bahawa: ‘Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.’

Dua perspektif

Berdasarkan peruntukan undang-undang seperti di atas, kita dapat fahami bahawa Undang-undang Islam berkaitan perkahwinan kanak-kanak di Malaysia perlu dilihat dari dua aspek, iaitu pertamanya, had umur perkahwinan yang ditetapkan oleh undang-undang bertulis dan kedua, budi bicara hakim untuk membenarkan perkahwinan bawah umur.

Had umur perkahwinan di Malaysia berbeza-beza antara satu negeri dengan yang lain. Kerajaan sedang giat menjalankan usaha untuk menyelaraskan usia perkahwinan kepada 18 tahun bagi lelaki dan wanita. Buat masa ini terdapat negeri yang menetapkan umur perkahwinan yang lebih rendah seperti 16 tahun, terutamanya untuk perempuan.

Timbul persoalan sama ada adakah Undang-undang Perkahwinan Islam di negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan wajar diselaraskan kepada umur 18 tahun untuk lelaki dan perempuan, atau dibiarkan berbeza berdasarkan ketetapan negeri masing-masing.

Demi maslahah

Dalam hal ini kita perlu membezakan antara penetapan umur kelayakan berkahwin, dengan hukum berkaitan perkahwinan kanak-kanak dalam Islam. Penetapan umur kelayakan ini tidak bermakna, mereka yang berumur kurang dari umur berkenaan langsung tidak layak berkahwin. Mereka masih boleh melangsungkan perkahwinan jika mendapat kelulusan pihak berkuasa agama. Oleh itu, penetapan umum dalam undang-undang bertulis tidak boleh dianggap sebagai tindakan mengharamkan sesuatu yang halal.

Oleh yang demikian, usaha menaikkan umur kelayakan berkahwin ini adalah soal ijtihad yang wajar ditentukan oleh kerajaan berasaskan prinsip maslahah dengan mengambil kira tahap kematangan remaja masa kini dan kesan dari perkahwinan pada umur yang ditetapkan. Kajian-kajian yang telah dibuat wajar dijadikan rujukan dalam menentukan had umur ini.

Aspek yang kedua ialah dari sudut budi bicara hakim Syarie bagi membenarkan perkahwinan individu bawah umur. Setiap undang-undang yang menetapkan umur kelayakan berkahwin menyertakan pengecualian kuasa hakim untuk memberikan kebenaran bertulis.

Budi bicara mahkamah

Budi bicara hakim ini dianggap perlu kerana terdapat situasi yang khusus yang mungkin memerlukan perkahwinan bawah umur ini dilakukan. Menurut satu kajian oleh Pusat Kajian Fiqh, Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia, salah satu faktor perkahwinan kanak-kanak di Malaysia ialah disebabkan keterlanjuran dan keinginan untuk menutup aib atau maruah keluarga yang tercemar. Walau bagaimana pun, pengecualian ini tidak seharusnya dianggap sebagai laluan mudah bagi mereka yang melakukan dosa zina yang ingin membersihkan nama mereka. Ia tetap perlu disertai dengan tapisan dan syarat yang ketat.

Begitu juga kelonggaran ini sama sekali tidak boleh digunakan bagi ibu atau bapa yang menyalahgunakan kedudukan mereka untuk mendapat keuntungan peribadi dengan cara mengahwinkan anaknya. Misalnya, jika berlaku kes bapa yang ingin mengahwinkan anak untuk menebus hutang, maka hasrat tersebut perlulah dihalang sekeras-kerasnya.

Selain itu, perlu juga dilihat apakah kesan perkahwinan itu kepada kebajikan remaja atau kanak-kanak terbabit dari sudut pendidikan dan perkembangan sosialnya. Hakim juga wajar melihat dari sudut persediaan remaja atau kanak-kanak itu dengan ilmu dan kemahiran rumah tangga.

Ringkasnya, sebelum sesuatu keputusan pengecualian diputuskan, Hakim Syarie bertanggungjawab untuk memastikan bahawa perkahwinan itu mendatangkan maslahah untuk kanak-kanak atau remaja terbabit, atau sekurang-kurangnya dapat mengelakkan berlakunya kerosakan dan mudarat.

Perlu garis panduan

Dalam hal ini, timbul persoalan, apakah rujukan yang digunakan oleh para Hakim dalam membuat keputusan? Adakah wujud panduan yang komprehensif dan seragam bagi kelulusan permohonan perkahwinan bawah umur? Apakah pertimbangan dari aspek ekonomi, kematangan, risiko penganiayaan, dan psikologi diambil kira dalam membuat pertimbangan?

Buat masa ini, belum ada satu garis panduan yang lengkap dan seragam untuk menjadi rujukan pada para Hakim dalam membuat pertimbangan. Garis panduan ini amat penting memandangkan terdapat pelbagai pandangan Fuqaha’ berhubung dengan perkahwinan kanak-kanak. Dalam situasi ruang ijtihad yang amat luas ini, dikhuatiri terdapat Hakim yang memilih pandangan yang terlalu longgar sehingga bertentangan dengan Maqasid Syariah dan bercanggah dengan maslahah.

Pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan para Mufti negeri-negeri sewajarnya dijadikan rujukan bagi memastikan wujudnya keseragaman dan kesaksamaan ketika Hakim Syarie menilai keperluan pengecualian. Misalnya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 tahun 2014 telah pun bersetuju memutuskan bahawa perkahwinan kanak-kanak hanya boleh dibenarkan dengan syarat ia dilakukan semata-mata untuk memenuhi kemaslahatan kanak-kanak tersebut secara Syar’ie.

Manakala Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pula pernah mengeluarkan satu catatan Bayan Linnas Siri Ke-141 yang bertajuk Perkahwinan Kanak-kanak Mengikut Perspektif Syariah. Antara lain, catatan menyebut bahawa perkahwinan kanak-kanak kecil dari sudut hukum syarak, jika menepati syarat dan rukun yang telah ditetapkan adalah sah berdasarkan nas al-Quran dan Sunnah. Kitab-kitab feqah dalam empat mazhab sendiri pun telah menyebut isu ini dan mengiyakannya. Menurut tulisan berkenaan, inilah pendapat jumhur Fuqaha’.

Bidangkuasa Kerajaan

Walau bagaimana pun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mencadangkan agar kerajaan menggubal undang-undang yang lebih meraikan Maqasid Syariah dan menggabungkan antara nas syarak serta maslahah, yakni institusi keluarga yang penuh belas kasihan dan cinta. Justeru, tegasnya kerajaan berkuasa untuk menetapkan polisi mengehadkan umur minimum perkahwinan kerana ia termasuk di bawah kategori taqyid al-mubah (mengikat perkara yang harus dengan suatu maslahat) bagi menegakkan keadilan dan bukanlah bertujuan untuk mengharamkan apa yang Allah S.W.T halalkan.

Tulisan itu juga memetik pendirian Syeikh Abdullah bin Sulaiman al-Mani’, salah seorang anggota Majlis Ulamak Kanan Saudi yang berpandangan bahawa perkahwinan antara Rasulullah S.A.W dengan Sayyidatina Aisyah R.A tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mewajarkan perkahwinan anak gadis bawah umur. Begitu juga pendapat Dr. Muhammad Uqlah dalam Nizam al-Usrah fi al-Islam yang menyebut bahawa Islam tidak menggalakkan perkahwinan remaja yang muda dengan wanita yang amat tua. Begitu juga, wanita muda dengan syeikh yang amat tua. Ini bertujuan menjaga kemaslahatan kedua-duanya dari sudut hubungan kelamin. ‘Uruf masa kini amat berbeza dengan masa terdahulu dan juga ‘uruf tempatan Malaysia berbeza dengan sebahagian negara lain.

Berdasarkan perbahasan di atas, kita mendapati bahawa kerajaan mempunyai kuasa untuk menetapkan had kelayakan umur perkahwinan berdasarkan keperluan dan perkembangan semasa demi maslahah semua pihak berasaskan nas syarak dan Maqasid Syariah.

Walau bagaimana pun ia tidak perlu terikat dengan kehendak atau tekanan Antarabangsa, termasuk advokasi hak asasi sejagat kerana soal ketetapan perkahwinan ini amat berkait rapat dengan faktor-faktor tempatan.

Selain itu, kewujudan pengecualian kepada had umur perkahwinan adalah perlu tetapi ia berteraskan prinsip keadilan dan tertakluk kepada kawalan yang ketat berdasarkan garis panduan yang komprehensif. Keperluan ini amat perlu disegerakan bagi memastikan tidak wujud kelompongan perundangan yang mungkin digunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bagi menyalahgunakan pengecualian dan kelonggaran berkenaan.

Adalah diharapkan agar, isu perkahwinan bawah umur ini dapat ditangani sebaik mungkin bagi mengelakkan Islam diletakkan di kandang salah sebagai satu sistem hidup yang kononnya pincang dan menganiaya wanita. Sedangkan hakikatnya sistem kekeluargaan Islam adalah satu sistem sosial yang terbaik dan sesuai dengan fitrah kerana ia datang dari Allah Yang Maha Penyayang dan Maha Mengetahui.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)
Universiti Teknologi Malaysia – HARAKAHDAILY15/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. 

- Advertisement -