Kenapa ada ahli PAS suka dengar fitnah dan sebarkan? (Siri 3)

- Advertisement -

PASTIKAN anda memahami syarat yang telah dinyatakan dalam siri 1 sebelum menyambung membaca tulisan ini.

Beza perangai orang Kelantan dan Terengganu


Ada juga yang suka membandingkan kekuatan Kelantan yang berjaya bertahan lama dengan Terengganu yang kalah selepas sepenggal. Dan pastinyalah bertujuan supaya Presiden PAS yang akan menjadi bahan kutukan. Antara salah satu sebab lain kekalahan PAS di Terengganu ialah sikap yang jauh berbeza antara rakyat Kelantan dan Terengganu. Ketika itu, sudah ada perbincangan adakah Terengganu akan mengikut jejak langkah Kelantan, mempertahankan kerajaan.

Saya tidak tahu apa hasil kajian pimpinan, berkenaan soalan itu. Tetapi saya ada membaca dan mendengar komentar-komentar bahawa perbezaan sikap yang jauh itu memberikan kelebihan kepada Kelantan. Maaf mungkin ia bukan bersumberkan jurnal, tetapi keadaan yang cukup difahami dari segi budaya atau perangai. Sikap orang Kelantan, pantang dicabar, jangan dihina negeri mereka. Sanggup mereka susah, tetapi tidak akan membiarkan negeri mereka diperlekehkan.

- Advertisement -

Orang Kelantan, apabila berada di dalam negeri mereka, mereka mungkin berkelahi sesama daerah. Tetapi apabila mereka di luar daripada negeri mereka, mereka akan bersatu. Cakap-cakap bahawa ada kalangan orang Kelantan, sanggup meninggalkan rakannya yang sedang bersama dengannya yang bukan dari Kelantan apabila bertemu dengan rakan senegeri, bukanlah sesuatu yang luar biasa dahulu. Tetapi sikap kebersamaan mereka inilah yang mempertahankan Kelantan.

Mereka hidup di merata pelosok negara. Kedai mereka ada, kakitangan kerajaan juga ramai. Dan apabila mengundi, mereka berbondong-bondong pulang ke kampung. Kata orang, rakyat Kelantan ada tiga raya yang mereka akan pulang ke kampung. Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji dan Hari Pilihan Raya. Jangankan orang PAS, orang Umno Kelantan juga akan marah jika negeri mereka dikutuk orang luar. Sebab itu Umno gagal kerana kempen mereka ialah bermusuh dengan rakyat Kelantan.

Berbeza dengan Terengganu. Ramai yang takut diugut. Lebih-lebih lagi hal berkaitan dengan wang. Ketika royalti ditukar menjadi wang ihsan, berapa ramai atas pagar yang menyokong PAS dahulu, telah bertukar sokongan akibat daripada ugutan. JKKK memainkan peranan cukup besar ketika itu. Pernah terjadi, ketika orang kampung sedang menyertai sukan rakyat anjuran Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR), ada JKKK yang datang dan menemui seorang demi seorang orang kampung dan menyuruh mereka pulang atau tidak diberikan wang ihsan.

Pimpinan Umno Kelantan, walaupun menekan negeri, tetapi akan cuba juga membantu negeri mereka sedikit sebanyak walau diperintah PAS. Namun Umno Terengganu membuat usul di Perhimpunan Agung Umno (PAU) bagi memotong terus royalti petroleum yang sehingga kini sebenarnya, masih belum diselesaikan isu itu, kecuali ia sudah ditarik samannya. Sanggup mereka melihat orang lain yang mengawal wang royalti itu, bukan anak negeri sendiri. Sehinggakan Tun Mahathir ketika itu berkata Umno Terengganu ‘stupid’.

Rakyat Terengganu pernah menjadi rakyat kedua termiskin di Malaysia ketika negeri mendapat limpahan kemewahan hasil petroleum selama beberapa tahun. Rakyat miskin diberikan wang bantuan dengan pesanan setia kepada parti. Akhirnya akibat daripada selesa menerima wang mudah, maka ia menjadi satu kewajipan kepada kerajaan menyediakan bayaran one-off ini saban tahun. Dan, ketika mereka tidak mendapatnya iaitu sewaktu PAS tiada wang, mengamuklah mereka. Bukan sesuatu yang rahsia siapa penerima wang ehsan, semuanya mahu, walau tidak layak, tiada rasa malu.

Mungkin akan ada orang tidak bersetuju dengan saya. Tetapi lihatlah sendiri, berapa pasaraya besar yang ada di Terengganu semenjak dahulu. Yang ada Hock Kee Seng, Bumi, Pusat. Kemudian datanglah Mydin, Giant. Mana ada pasaraya besar terkenal seperti Tesco, Carrefour, Aeon sehingga kini. Pihak pengurusan pasaraya besar ini semestinya ada menjalankan kaji selidik kuasa beli, yang mana, kurang menguntungkan jika membuka cawangan mereka di Terengganu. Lot-lot kedai yang disediakan kerajaan atau swasta juga payah untuk dipenuhi. 

Plaza Perdana seingat saya semenjak dibuka sekitar 1987, tidak pernah penuh lot peniaga di situ. Paya Bunga Square pun sama sekarang. KFC, Mc D, Pizza Hut, hanya pertengahan 90-an wujud. Lihat juga kawasan UiTM Dungun yang ada sejak tahun 70-an, tiada pembangunan ekonomi yang ketara sejak berapa lama. Bandar Baharu Kerteh dipanggil ‘pekan koboi’, kawasan Gong Badak yang ada beberapa pusat pengajian tinggi, semua amat lambat membangun kerana kurang kekuatan ekonomi. Sehinggakan Terengganu dikenali sebagai negeri yang harga makanannya mahal.

Di Kelantan? Serba mak nenek ada. Sudahlah murah Sehinggakan Tesco Kota Bharu, pernah mencatatkan jualan tunai harian tertinggi di Malaysia. Juga bukti berkenaan jumlah penerbangan ke Kuala Terengganu yang hanya kurang daripada 10 sehari. Manakala di Kelantan, ia seolah-olah menjadi pusat lapangan terbang bagi Kelantan dan Terengganu dengan jumlah puluhan penerbangan sehari. Apa tandanya? Tandanya orang Terengganu kurang kuasa membeli. Manakala Kelantan, tidak takut membeli kerana ada wang.

Lihat isu air di Kelantan. PAS tidak kalah, walau ada desakan sejak puluhan tahun. Di Terengganu, entahlah. Jadi, jika mahu membandingkan antara sikap orang Kelantan dan Terengganu, ia adalah sesuatu yang amat jauh dari persamaan. Dan ketika PAS menang di Terengganu, sudah diberi amaran kepada ahli-ahli bahawa kemenangan ini adalah kerana gelombang Dato’ Seri Anwar. Tetapi ramai yang menafikan dengan menegaskan bahawa, Terengganu bakal menjadi seperti Kelantan. Akhirnya, terjadilah sebagaimana catatan sejarah.

Bersambung…

MOHD NASIR ABDULLAH
15 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 15/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -