Kelantan lulus bina Takungan Air Pinggiran Sungai

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri meluluskan cadangan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Mukim Joh, Machang dekat sini bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Dato’ Sr. Azami Mohd Noor berkata, projek yang bernilai RM1.7 bilion itu dilaksanakan melalui usahasama Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Widad Group.

Menurutnya, lokasi seluas 1,000 ekar itu dipilih kerana berhampiran dengan Sungai Kelantan serta tidak mempunyai penempatan penduduk selain tanah tanaman padi dan paya yang terbiar.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru ini meluluskan cadangan pembinaan takungan tersebut dan setuju melantik syarikat tersebut sebagai usahasama dengan kerajaan negeri.

- Advertisement -

“Perbincangan awal kosnya kira-kira RM1.7 bilion, kita mohon supaya Widad Group berbincang dengan kerajaan pusat supaya peruntukan diberi dalam bentuk geran,” katanya di sini hari ini.

Azami yang juga Adun Kadok berkata, projek yang dijangka bermula hujung tahun ini selepas urusan tanah selesai, berkapasiti sebanyak 500 juta liter sehari (JLH).

Menurutnya pembinaan secara berperingkat itu membabitkan tiga fasa iaitu 200 JLH bagi fasa pertama, kemudian 200 JLH dan 100 JLH bagi fasa kedua dan ketiga,

Projek tersebut jelasnya, turut membabitkan pembinaan paip agihan bagi menyalurkan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) ke tujuh tangki imbangan sepanjang 139 kilometer.

Beliau berkata, takungan tersebut dibuat bagi menyimpan air sehingga tiga bulan pada musim kemarau, sekali mengatasi masalah gangguan air bagi Kelantan Utara sehingga 90 peratus.

“Takungan tersebut akan membekalkan air kepada tangki-tangki air yang menghadapi masalah pada musim kemarau, jadi apabila TAPS digunakan, masalah air selesai walaupun tidak sepenuhnya.

“Kita jangkakan TAPS boleh simpan air untuk tempoh tiga bulan sekurang-kurangnya. Pada musim tengkujuh banyak air boleh disimpan dengan adanya TAPS,” katanya.

Menurut beliau, TAPS yang berkeluasan 500 ekar dengan kedalaman 23 meter itu dianggap sebagai projek perintis sebelum membina takungan sama di kawasan lain antaranya Pasir Puteh dan Pasir Mas.

Malah lokasi tersebut katanya, turut dicadangkan untuk dijadikan satu lagi kawasan rekreasi bagi menyemarakkan lagi sektor pelancongan, aktiviti air seperti perahu, kayak serta memancing. – HARAKAHDAILY 15/3/2021

- Advertisement -