Kekeliruan pendekatan memahami Iki Putra

- Advertisement -

ADA yang berpendapat bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra tidak membawa kesan yang besar kepada penggubalan Undang-undang Jenayah Islam. Mereka berpendapat seperti berikut:

Bahawa garis panduan untuk DUN menggubal undang-undang mengenai kesalahan Perintah Agama Islam adalah jelas, dan ia hanya tertumpu kepada undang-undang peribadi orang Islam semata-mata.

Ujian yang perlu dibuat ialah sama ada amalan dan tinggalan yang ingin dijadikan kesalahan tersebut dilakukan oleh orang Islam sahaja atau juga orang bukan-Islam. Kalau amalan dan tinggalan tersebut dilakukan oleh orang Islam sahaja, maka ia adalah undang-undang peribadi yang boleh digubal oleh DUN.

- Advertisement -

Maka sekiranya amalan dan tinggalan itu mempunyai kesan dan juga dilakukan oleh orang bukan-Islam, maka ia tergolong dalam kuasa Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan, dan menjadi Undang-undang Jenayah.

Saya hormati pandangan ini. Namun begitu, saya memohon untuk tidak bersetuju sepenuhnya dengan pandangan ini atas 2 faktor utama:

1. Pandangan ini tidak menggambarkan kesan sebenar Penghakiman kes Iki Putra;

2. Ujian yang disarankan tersebut tidak ‘watertight’ dan ‘foolproof’. Pendek kata ujian tersebut boleh menyebabkan lebih kekeliruan, serta mengecilkan dan memencikan Undang-undang Syariah .

Hujah saya begini:

Keputusan Kes Iki Putra dengan jelas menggariskan beberapa prinsip. Pertamanya, bahawa ‘Klausa Pengecualian’ adalah terpakai dalam keadaan di mana DUN menggubal kesalahan jenayah Perintah Agama Islam yang termasuk dalam skop Undang-undang Jenayah dalam Senarai Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan mengembangkan lagi prinsip pengecualian itu dengan menyatakan, walaupun Undang-undang Jenayah (untuk maksud Senarai Persekutuan) masih belum digubal, DUN tetap tidak boleh menggubal kesalahan Perintah Agama Islam jika ia berkait dengan Undang-undang Jenayah yang digubal tersebut.

Mahkamah Persekutuan mengakui bahawa liwat adalah kesalahan Perintah Agama Islam. Namun oleh kerana sudah ada Seksyen 377A dalam Kanun Keseksaan mengenai kesalahan seks luar tabi’I, maka ia dianggap sebagai Undang-undang Jenayah (Untuk maksud Senarai Persekutuan). Maka ‘Klausa Pengecualian’ terpakai, dan DUN tidak boleh menggubal kesalahan liwat.

Pun begitu, Mahkamah Persekutuan menerima takrifan ‘Perintah Agama Islam’ sebagaimana ditafsir dalam kes Sulaiman Takrib yang membawa maksud bukan sahaja Rukun Islam, bahkan kesemua ajaran al-Quran dan as-Sunnah.

Mahkamah Persekutuan juga hanya memberikan definisi Undang-undang Jenayah sebagai undang-undang yang memperuntukkan hukuman sebatan dan penjara.

Mahkamah Persekutuan juga menyatakan bahawa kesalahan Perintah Agama adalah kesalahan yang mempunyai 2 kriteria – 1. ‘purely religious in nature that is directly concerned with religious matter or religious affairs’, 2. Terpakai hanya kepada orang Islam. (Penghakiman Hakim Besar Malaya)

Konklusinya, kita boleh katakan seperti berikut – DUN hanya boleh menggubal kesalahan Perintah Agama Islam yang merangkumi kesalahan ‘purely religious in nature that is directly concerned with religious matter or religious affairs’membabitkan orang Islam sahaja, dan kesalahan Perintah Agama Islam tersebut mestilah tidak termasuk dalam Undang-undang Jenayah di bawah Senarai Persekutuan. 

Ujian Iki Putra dan ujian implikasi 

Ujian dalam kes Iki Putra kini jelas. Ia adalah seperti berikut:

Pertama: lihat sama ada kesalahan Perintah Agama Islam yang digubal oleh DUN tersebut adalah kesalahan ‘purely religious in nature that is directly concerned with religious matter or religious affairs’ (kriteria pertama) dan membabitkan orang Islam (kriteria kedua) sahaja ataupun tidak?

Kedua: Jika ya, lihat pula sama ada ia termasuk dalam takrif Undang-undang Jenayah di bawah Senarai Persekutuan

Ketiga: Jika soalan kedua dijawab tidak, maka kesalahan Perintah Agama Islam itu sah. Jika ya, ia tidak sah.

Ujian Iki Putra ternyata berbeza dengan ujian implikasi. Ujian implikasi hanya menekankan sama ada ia digubal untul amalan dan tinggalan Orang Islam sahaja, membabitkan undang-undang peribadi. Ujian implikasi mengabaikan definisi ‘purely religious in nature’ dan pertentangannya dengan takrif Undang-undang Jenayah (untuk tujuan Senarai Persekutuan).

Oleh yang demikian, dengan hormatnya saya menyatakan ujian implikasi yang dicadangkan tidak menggambarkan prinsip sebenar yang digariskan dalam kes Iki Putra, atau saya kenali sebagai ujian Iki Putra. Memandangkan ujian Iki Putra merupakan undang-undang terkini dan tertinggi, maka ujian-ujian lain tidak boleh diterima pakai lagi ketika ini.

Masalah ujian Iki Putra dan ujian implikasi

Ujian Iki Putra gagal memberi penjelasan bagaimana takrifan ‘purely religious in nature that is directly concerned with religious matter or religious affairs’ itu boleh diharmonikan dengan takrifan Perintah Agama Islam yang diberikan dalam kes Sulaiman Takrib.

Kalau Perintah Agama Islam ditafsirkan sebagai bukan sahaja Rukun Islam, bahkan ajaran al-Quran dan as-Sunnah, bagaimana takrifan ‘purely religious in nature’ mahu mengenepikan ajaran al-Quran dan as-Sunnah berkaitan hukum jenayah dalam Islam.

Islam agama yang sempurna dan lengkap. Ia bukan sahaja meliputi ritual dan ibadah tetapi merangkumi siyasah, muamalat dan juga jenayah. Bahkan hukum Islam sangat luas meliputi Hudud, Takzir dan Qisas. Memaknakan Perintah Agama Islam sebagai ajaran al-Quran dan as-Sunnah sepatutnya membawa maksud kesemua yang saya sebutkan tersebut.

Jadi apakah maksud ‘purely religious in nature that is directly concerned with religious matter or religious affair’?Adakah ia bermaksud mengecilkan skop Perintah Agama Islam yang telah diterima awalnya? Ia tidak dijelaskan.

Ujian Iki Putra (dan juga ujian implikasi) meletakkan golongan sasar sebagai kayu ukurnya. Jika ia libatkan amalan dan tinggalan orang Islam sahaja, maka ia termasuk didalam kesalahan Perintah Agama Islam.

Lalu contoh diberikan seperti zina, khalwat, judi, minum arak dan menghina institusi agama Islam. Kononnya ia adalah amalan dan tinggalan Orang Islam sahaja.

Jika kita telusuri contoh yang diberikan, saya menyatakan bahawa ia juga boleh menjadi amalan dan tinggalan orang bukan-Islam kerana ia adalah kesalahan yang boleh dilakukan bersama-sama orang Islam.

Zina dan khalwat boleh berlaku antara seorang lelaki Melayu dan perempuan Cina. Orang bukan-Islam boleh melakukan kesalahan menghina al-Quran, Nabi Muhammad dsb. Ia telah banyak berlaku. Minum arak dan judi tentunya boleh dilakukan oleh orang bukan-Islam.

Jadi, jika kita memakai ujian implikasi atau kriteria kedua ujian Iki Putra, adakah kita mahu menyatakan kesalahan zina, khalwat, judi, arak dan menghina agama juga tidak boleh dibuat oleh DUN hanya kerana amalan dan tinggalan tersebut boleh juga dilakukan orang bukan-Islam?

Oleh yang demikian, secara adilnya, kesalahan yang memenuhi ujian pertama Iki Putra ini terlalu sedikit dan mengecil. Untuk berlaku adil, saya berikan contoh – kesalahan tidak solat Jumaat, makan secara terbuka di siang bulan Ramadhan dan tidak bayar zakat. Kesalahan mengajar tanpa tauliah juga boleh dilakukan oleh orang bukan-Islam sebenarnya. Adakah ini yang kita maksudkan?

Dan jangan dilupakan bahawa ini adalah baru di peringkat ujian pertama dalam ujian Iki Putra, belum masuk ujian kedua. JIka sekiranya ujian pertama dilepasi, iaitu memang kesalahan tersebut adalah ‘purely religious in nature’ dan membabitkan (boleh dilakukan) oleh orang Islam sahaja, maka ujian kedua perlu dinilai. Memandangkan ujian kedua hanya mentakrifkan Undang-undang Jenayah sebagai yang memperuntukkan kesalahan sebatan dan penjara, maka ia menimbulkan masalah yang baru.

Jika sekiranya Parlimen menjadikan jenayah baru dengan hukuman sebatan dan penjara, ia sudah menjadi Undang-undang Jenayah yang tidak boleh disentuh oleh DUN. Apatah lagi kalau ia bukan ‘purely religious in nature’ dan boleh membabitkan orang bukan-Islam. Tidakkah ini mengecilkan kuasa DUN? Dan memencilkan Mahkamah Syariah?

Perlunya pindaaan 

Dikotomi yang berlaku memerlukan pendekatan yang harmoni dan sejahtera. 

Memandangkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut adalah keputusan dengan kekuatan 9 orang hakim, proses semakan (Peraturan 137) adalah hampir mustahil bagi saya. Cabaran, sekiranya boleh dibuat pun adalah dalam kes lain, namun memerlukan panel yang setara, kalaupun tidak lebih kuat. Ia tidak akan berlaku dalam jangkamasa terdekat.

Justeru, saya dan rakan-rakan mencadangkan agar dikotomi ini diselesaikan dengan meminda Perlembagaan khususnya ‘Klausa Pengecualian’ dan memasukkan takrifan ‘Perintah Agama Islam’ dan ‘Undang-undang Jenayah’.

Kami menerima pelbagai saranan mengenai apa perlu dipinda. Ia adalah untuk perbincangan dalam forum yang lain. Namun, cukup saya nyatakan, Senarai Negeri dan Senarai Persekutuan boleh sahaja diharmonikan dengan membuang ‘Klausa Pengeculian’ sebagai asasnya.

Kewujudan bersama Undang-undang Jenayah dan Jenayah Syariah

Dalam kes Sukma Darmawan, Mahkamah Agung telah menjelaskan bahawa 2 undang-undang untuk kesalahan yang sama boleh wujud. Dan dalam keadaaan tersebut, pilihan diberikan untuk mendakwa di bawah satu undang-undang, asal saja tidak berlaku pendakwaan 2 kali atas kesalahan sama, dan ‘double jeorpardy’. Ini juga disokong oleh Seksyen 59 Akta Interpretasi.

Ramai bersetuju bahawa Undang-undang Islam telah lama wujud di Tanah Melayu sebelum merdeka. Sesetengah sarjana Inggeris sendiri mengiktirafnya sebagai ‘Muhammadan Law’ dan ‘Lex Loci’. Maka, semangat dan sejarah ini tidak harus dilupakan.

Kesan pengecilan dan pemencilan Senarai Negeri dan Mahkamah Syariah tersebut seolah-olah menunjukkan bahawa kita mula melupai semangat dan sejarah ini. Ia tidak harus berlaku.

Pada analisa terakhir, saya menyimpulkan bahawa kes Iki Putra memberi impak terlalu besar kepada Undang-undang Syariah. Sedar atau tidak, serangan tersebut telah bermula, sedang berlaku dan akan diteruskan. Kita pula tidak harus memalingkan muka. 

Tiba masanya, pertahankan Syariah, pinda Perlembagaan. 

YUSFARIZAL YUSSOFF
Pengerusi ADVOCS – HARAKAHDAILY 15/3/2021

- Advertisement -