Jus buah merawat kanser

- Advertisement -

MARI seorang pesakit duduk jual jus buah. Katanya jus buah itulah yang telah berjaya merawat kanser yang dia alami sejak 5 tahun dahulu. Sekarang ini sembuh sepenuhnya – tak mati-mati pun lagi. Cerita yang dia duduk jaja katanya doktor pernah mengatakan bahawa beliau akan mati setahun selepas dari pembedahan dan kemoterapi. Saya lihat kad rawatan klinik beliau: disahkan menghadapi kanser Limfoma.

Saya duduk check balik berapa artikel jurnal yang berkaitan kanser yang beliau hadapi itu, purata kadar survivor (individu yang berjaya selamat) bagi semua tahap kanser adalah 87 peratus dalam 5 tahun. Ini bermakna hasil dari statistik yang telah dicerap sejak beberapa tahun yang lalu mendapati bahawa pesakit kanser Limfoma ini 13 peratus dari mereka meninggal dunia dalam tempoh lima tahun. 

- Advertisement -

Jika dibuat pecahan secara terperinci:

(1) Tahap kanser awal ditemui, setelah dirawat dengan pembedahan dan kemoterapi kadar survival boleh meningkat kepada 92 peratus dalam 5 tahun.
(2) Jika kanser itu hanya merebak secara setempat (regional) saja kadar survival adalah 94 peratus dalam 5 tahun.

(3) Jika kanser itu di tahap yang lebih tinggi, setelah pembedahan dan kemoterapi, kadar survival masih lagi memberangsangkan, 78 peratus dalam 5 tahun.

Maknanya kadar kesembuhan adalah tinggi dan ianya boleh dirawat sebaik mungkin jika pesakit mengikuti apa yang diarahkan oleh pihak pakar perubatan. Berusaha dan berikhtiarlah dahulu kemudian bertawakallah kepada Allah.

Isu berkaitan dengan beliau mengamalkan jus buah itu adalah isu yang kedua. Sama ada mengamalkan jus buah ataupun sebaliknya kadar kesembuhan masih lagi tinggi dan dia tergolong dari golongan yang selamat.

Saya selidik jus buah durian Belanda yang disebutkan dalam isi kandungan jus tersebut. Didapati bahawa durian Belanda bukan rawatan untuk kanser. Malah ia masih belum dibukti pun secara klinikal durian Belanda boleh merawat kanser ke atas manusia. Jika kajian atas tikus makmal dan sel piring pateri, telah ada. Namun perlu dilakukan kajian lanjut secara berperingkat atas manusia.

Isu utama yang perlu difahami oleh masyarakat adalah penjualan secara komersial jus berkenaan di atas dakwaan bahawa jus itu boleh merawat kanser. 

(1) Kesalahan pertama adalah melanggari Akta Pengiklanan 1956 yang mendakwa bahawa sesuatu bahan itu boleh merawat ataupun menyembuhkan kanser.

(2) Kedua, pesakit berkenaan adalah individu yang berpengaruh dalam masyarakat. Apa saja yang keluar dari mulut beliau dikira sebagai ucapan yang boleh dipercayai. Bahkan testimoni yang disebut oleh beliau itu begitu meyakinkan dan ini adalah bersalahan dengan disiplin ilmu dalam berubat. Testimoni awam tidak boleh dijadikan dasar dalam menentukan kaedah berubat.

(3) Sumber maklumat yang mengatakan bahawa beliau akan mati setahun selepas dari rawatan itu pun tidak diambil dari sumber yang betul. Konsep menjangkakan kematian seseorang itu perlu diterangkan sebaik mungkin. Bukan hanya dijangka sebegitu sahaja. Doktor bukan penentu tarikh mati seseorang.

(4) Orang ramai yang percaya dan membeli dengan kempen jualan beliau itu akan mengambil jalan ringkas atau shortcut untuk merawat penyakit kanser yang mungkin mereka hadapi. Sedangkan sepatutnya individu yang dijangkiti kanser mesti melalui proses saringan, rawatan dan pemulihan. Jika ianya awal dikesan dan dirawat, insya-Allah kadar kesembuhan adalah tinggi. Tetapi jika mengambil jalan ringkas seperti itu dengan hanya mengambil jus yang dipromosikan oleh beliau dan meninggalkan rawatan yang sepatutnya, maka makin lambatlah individu yang menghidapi kanser itu untuk tampil ke hospital bagi mendapatkan rawatan yang sebenar.

(5) Saya baca harga promosi satu botol jus tersebut (500 ml) terlalu tinggi dan tidak munasabah sehingga mencecah RM99.99. Walhal buah itu jika dibeli di kedai tidak sampai pun RM30 untuk dijadikan jus. Mungkin ianya ada nilai tambah bacaan-bacaan Ruqyah yang tertentu tetapi fikir-fikirkanlah untuk meletak harga yang sedemikian.

Saya bukan menentang penjualan jus dan perniagaan orang Melayu Muslim tetapi berpada-padalah dengan dakwaan yang dibuat. Jangan ianya menjadi satu fitnah kepada bangsa dan agama kita sendiri.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 15/3/2021

Rujukan:
ASCO. Statistic Lymphoma – Hodgkin. Online Cancer Net. Access March 14, 2021.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -