Bakal jemaah haji diminta bersikap realistik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bakal-bakal jemaah haji tahun ini diminta bersikap lebih realistik mengenai peluang menunaikan ibadah berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, ia bergantung kepada situasi semasa pandemik Covid-19 yang kini masih di tahap membimbangkan.

Katanya, setakat ini belum ada sebarang keputusan daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan syarat tambahan kepada bakal jemaah haji.

- Advertisement -

“Kita belum mendapat maklumat adakah setakat perlu suntikan biasa atau ada suntikan khas vaksin Covid-19.

“Bagaimanapun kita berharap jemaah yang bakal mengerjakan ibadah haji khususnya tahun ini lebih bersedia,” ujarnya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Qaseh YAPEIM di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang di Kedai Buloh, di sini semalam.

Pada majlis itu beliau menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM15,000 kepada 30 penerima termasuk petani dan nelayan yang terkesan disebabkan musim tengkujuh, kemarau dan pandemik Covid-19.

Mengulas mengenai pemecatan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Mohammed Saleh Taher Benten, Marzuk berkata, ia tidak menjejaskan persetujuan kerajaan Arab Saudi yang memberikan tambahan 10,000 kuota haji untuk jemaah Malaysia.

“Persetujuan ini adalah antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud,” katanya.

Menurutnya kuota tambahan 10,000 jemaah haji jemaah Malaysia sememangnya mengembirakan.

Kata beliau juga kertas cadangan mengenai persiapan haji bagi bakal jemaah tahun ini telah siap dan akan dibawa ke kabinet untuk dibincangkan. – HARAKAHDAILY 15/3/2021

- Advertisement -