Presiden PAS terima suntikan vaksin Covid-19

Foto daripada Facebook Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.

“Alhamdulillah, hari ini saya telah menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Chendering,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Menurutnya, vaksin Covid-19 merupakan salah satu bentuk cara untuk meningkatkan imuniti kelompok (herd immunity) dalam kalangan masyarakat, supaya memiliki daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit tersebut.

“Fokus kerajaan sekarang ialah menjaga keselamatan rakyat sebagai keutamaan, dalam fasa kita berperang dengan wabak ini terutamanya keselamatan dari sudut kesihatan.

- Advertisement -

“Pada masa yang sama, pihak kerajaan berusaha memulihkan ekonomi rakyat yang teruk terjejas akibat wabak yang kita sedang hadapi,” katanya lagi.

Beliau berkata, para ulama menyatakan satu kaedah fiqh yang bermaksud, ‘kemudaratan itu disingkirkan’.

Jelasnya, sesuatu kemudaratan itu dihilangkan atau disingkirkan melalui pelbagai cara, antaranya adalah dengan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap sesuatu bahaya yang bakal menimpa.

Oleh itu, ujar beliau pengambilan vaksin turut termasuk dalam cara menyingkirkan kemudaratan.

Maka, tambahnya vaksinasi ini turut bertepatan dengan kaedah fiqh yang disebutkan di atas.

“Insya-Allah, dengan adanya vaksin ini kita dapat mengurangkan jangkitan wabak penyakit Covid-19.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia serta yang menetap di Malaysia untuk segera mendaftarkan diri untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau berharap semoga usaha murni yang dijalankan itu diberkati oleh Allah SWT untuk melindungi diri, keluarga dan masyarakat. – HARAKAHDAILY 14/3/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -