Kalimah Allah: Letakkan pada tempatnya yang betul

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

(قُلۡ یَـٰۤأَهۡلَ ٱلۡكِتَـٰبِ تَعَالَوۡا۟ إِلَىٰ كَلِمَةࣲ سَوَاۤءِۭ بَیۡنَنَا وَبَیۡنَكُمۡ أَلَّا نَعۡبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشۡرِكَ بِهِۦ شَیۡـࣰٔا وَلَا یَتَّخِذَ بَعۡضُنَا بَعۡضًا أَرۡبَابࣰا مِّن دُونِ ٱللَّهِۚ فَإِن تَوَلَّوۡا۟ فَقُولُوا۟ ٱشۡهَدُوا۟ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ)

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.”

[ali-‘Imran: 64]

Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah mestilah diletakkan pada tempatnya yang betul mengikut kehendak sebenar makna bagi kalimah Allah tersebut sebagaimana tafsiran dalam Islam bukan selainnya.

Keputusan terbaru yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi yang membenarkan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain iaitu solat, Kaabah dan Baitullah dalam penerbitan agama mereka, untuk pendidikan dalam komuniti mereka mendapatkan reaksi hebat dari penganut Islam khususnya. 

Asasnya, penggunaan kalimah Allah sejak dahulu di Tanah Arab sudah pun digunapakai oleh masyarakat Arab sebelum kebangkitan Rasulullah S.A.W. Malah kalimah Allah secara umumnya merujuk kepada nama Tuhan yang disembah. Namun pihak Musyrikin Makkah menggunakannya secara menyeleweng dengan mempersekutukan Allah dan mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak perempuan iaitu Malaikat. 

Firman Allah S.W.T: 

(أَفَأَصۡفَىٰكُمۡ رَبُّكُم بِٱلۡبَنِینَ وَٱتَّخَذَ مِنَ الْمَلآئِكَةِ إِنَـٰثًاۚ إِنَّكُمۡ لَتَقُولُونَ قَوۡلًا عَظِیمࣰا)

“(Jika demikian wajibnya mengesakan Allah, maka patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula dari jenis yang kamu tidak sukai?). Adakah Tuhan kamu telah memilih anak-anak lelaki untuk kamu dan Ia mengambil untuk diriNya anak-anak perempuan dari kalangan malaikat? Sesungguhnya kamu adalah memperkatakan dusta yang amat besar.”

[al-Isra’: 40]

Begitu juga, dakwaan kalangan Yahudi dan Nasrani yang menetapkan kepercayaan dalam agama mereka bahawa Tuhan mempunyai anak. Dakwaan sebegini adalah menyeleweng ke atas penggunaan kalimah Allah dari maksudnya yang sebenarnya. 

Firman Allah S.W.T:

(وَقَالَتِ ٱلۡیَهُودُ عُزَیۡرٌ ٱبۡنُ ٱللَّهِ وَقَالَتِ ٱلنَّصَـٰرَى ٱلۡمَسِیحُ ٱبۡنُ ٱللَّهِۖ ذَ ٰ⁠لِكَ قَوۡلُهُم بِأَفۡوَ ٰ⁠هِهِمۡۖ یُضَـٰهِـُٔونَ قَوۡلَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ مِن قَبۡلُۚ قَـٰتَلَهُمُ ٱللَّهُۖ أَنَّىٰ یُؤۡفَكُونَ)

“Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?”

[at-Tawbah: 30]

Meletakkan maksud yang salah bagi kalimah Allah adalah satu kesalahan di sisi Islam kerana mencemarkan kemuliaan pada lafaz dan makna bagi kalimah Allah itu sendiri. Penyelewengan bagi kalimah Allah bukanlah satu perkara yang kecil malah ia merupakan kesalahan yang besar sehingga digambarkan oleh Allah akan kemarahan makhluk lain ke atas mereka yang menyeleweng tersebut. 

Firman Allah S.W.T:

(وَقَالُوا۟ ٱتَّخَذَ ٱلرَّحۡمَـٰنُ وَلَدࣰا ۝  لَّقَدۡ جِئۡتُمۡ شَیۡـًٔا إِدࣰّا ۝  تَكَادُ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تُ یَتَفَطَّرۡنَ مِنۡهُ وَتَنشَقُّ ٱلۡأَرۡضُ وَتَخِرُّ ٱلۡجِبَالُ هَدًّا ۝  أَن دَعَوۡا۟ لِلرَّحۡمَـٰنِ وَلَدࣰا ۝  وَمَا یَنۢبَغِی لِلرَّحۡمَـٰنِ أَن یَتَّخِذَ وَلَدًا)

“Dan mereka yang kafir berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.” Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak. Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Ia mempunyai anak.”

[Maryam: 88 – 92]

Sehubungan itu, penggunaan kalimah Allah dalam buku penerbitan agama Kristian pastinya mamberikan maksud yang berbeza dengan tafsiran Islam berikutan dasar kepercayaan yang berbeza lagi bertentangan. Sedangkan kalimah Allah adalah bersifat eksklusif yang membezakan tafsiran kalimah Allah dari sudut kepercayaan musyrikin, Kristian dan selainnya. 

Firman Allah S.W.T:

    قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ۝  ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ ۝  لَمۡ یَلِدۡ وَلَمۡ یُولَدۡ ۝  وَلَمۡ یَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدُۢ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.”

[al-Ikhlas: 1 – 4]

DUPP memandang serius isu penggunaan kalimah Allah oleh non-Muslim berhubung keputusan oleh Mahkamah Tinggi tersebut. Secara asasnya, penggunaan kalimah Allah tanpa diseleweng maksudnya adalah dibenarkan. Dalam masa yang sama, perlunya tindakan tegas agar tidak ada sebarang usaha yang boleh membawa kecenderungan bagi menyeleweng kalimah Allah. 

Sekalipun, kelulusan penggunaan tersebut secara khusus kepada penganut Kristian dan untuk kalangan mereka sahaja namun tiada jaminan perkara ini boleh terkawal apatah lagi asasnya penggunaan kalimah Allah dalam kitab penerbitan agama mereka sudah tidak menepati maksud sebenar bagi kalimah Allah tersebut. 

Justeru, perlunya satu tindakan serius untuk menilai kembali keputusan ini agar dibawa ke peringkat yang lebih tinggi bagi memastikan kesucian kalimah Allah terpelihara dan tidak mengguris sensitiviti umat Islam di Malaysia ini. 

“Ulamak Perteguh Muafakat”
“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 14/3/2021

- Advertisement -