Dua dikhuatiri lemas dihanyut arus Sungai Pahang

- Advertisement -

KUANTAN: Niat seorang remaja mahu menyelamatkan anak saudaranya yang dibawa arus tidak kesampaian apabila kedua-dua mereka dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras Sungai Pahang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Yusri Othman berkata kejadian berlaku di Kampung Loyang di Sanggang, Temerloh kira-kira 141 kilometer dari sini, sekitar jam 4.50 petang tadi.

- Advertisement -

Mereka yang dikhuatiri lemas ialah Mohd Hakim Faqih Norazmi, 16, dari Kampung Desa Murni, Temerloh dan Mohammad Naufal Farhan Mohd Azrul, 8, yang tinggal di Kampung Loyang.

“Kedua-dua mangsa difahamkan ke sungai untuk mandi sekitar 4.15 petang bersama tiga lagi ahli keluarga, sebelum Mohammad Naufal Farhan dikatakan hanyut dibawa arus kira-kira 40 minit kemudian.

Mohd Hakim Faqih dikatakan menyedari kejadian itu dan cuba menyelamatkan anak saudaranya, namun turut dihanyutkan arus. Orang awam yang berada berhampiran juga cuba membantu, bagaimanapun tidak berjaya,” katanya semasa dihubungi malam ini.

Mohd Yusri berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.50 petang dan operasi mencari dan menyelamat dimulakan dengan bantuan bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Bagaimanapun, operasi dihentikan pada 7.30 malam ekoran keadaan cuaca yang semakin gelap dan akan disambung esok. – BERNAMA

- Advertisement -