Kohilal perluas pasaran produk melalui sistem e-digital

Majlis pelancaran diadakan semalam di premis Kohilal.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan makanan halal, Koperasi Al-Hilal Bhd (Kohilal) melancarkan produk kurma terbaru sempena menyambut bulan Ramadhan sekali gus dengan pelancaran pemasaran melalui sistem digital Kohilal (dropship).

Sistem itu dibina oleh bagi memudahkan urusan jual beli di antara pembekal Kohilal dengan pihak pembeli secara atas talian.

Pengerusinya, Mustaffa Salleh berkata, pelancaran sistem digital Kohilal yang baru adalah bagi menyambut cabaran semasa.

“Pada zaman sekarang ini zaman digital, jadi pada hari ini kami lancarkan (pemasaran melalui sistem digital) kerana tidak ada cara lain selain norma baharu sekarang ini.

- Advertisement -

“Kita lancarkan mula dengan produk kurma dan insya Allah produk-produk lain kita akan ikut,” katanya.

Beliau mengajak orang ramai untuk turut serta dengan produk koperasi dan para peniaga yang ingin meniaga juga dialu-alukan untuk mendaftar sebagai dropship.

“Sama-samalah menyokong untuk kejayaan kami terutamanya ahli-ahli Kohilal seluruh negara dan mereka semua pejuang Islam dapat bersama kami dalam menyertai program dropship yang diadakan pada hari ini.

“Kami mengharapkan supaya ada skim bantuan sokongan daripada semua, insya Allah kita nak menaikkan semula Kohilal.

“Peristiwa-peristiwa yang berlaku bagaimana benda baru itu diizinkan Allah dapat kita cari dan kita akan cuba pulihkan. Insya Allah kita bangkit semula demi masa kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada pemuda-pemuda untuk bersama-sama dengan Kohilal.

“Sekarang ini kami dapat kehadiran pemuda bersama kami dan membantu dalam sistem ini,” katanya kepada Harakahdaily.

Bagi keterangan lanjut mengenai sistem dropship boleh melayari website Kohilal.net dan Facebook Kohilal Malaysia Bhd.

Semalam Kohilal telah menlancarkan pemasaran melalui sistem digital Kohilal (dropship) di premisnya yang terletak di Diamond Square Commercial Centre Jalan Gombak, di sini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Yang Dipertua Kohilal, Kamaruzaman Mohamad dan Pengarah Bahagian Promosi dan Penggalakkan Koperasi SKM, Amran Abd Kadir.

SKM turut menggalakkan koperasi menggunakan platform pemasaran digital seluasnya selaras dengan norma perniagaan baru sekarang.

Ianya bagi membolehkan setiap pelusuk anggota koperasi itu mengetahui kewujudan produk dan perkhidmatan koperasi serta memudahkan langganan produk dan koperasi itu.

Sementara, Pengarah Bahagian Promosi dan Penggalakan Koperasi SKM, Amran Abd Kadir berkata pihaknya mengharapkan agar semua koperasi-koperasi di Malaysia khususnya Kohilal mempergiatkan lagi aktiviti ekonomi.

“Antaranya termasuklah mengeluarkan produk perkhidmatan yang boleh diguna oleh anggota-anggotanya.

“Kohilal ini fungsinya adalah perkhidmatan, jadi kena menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada anggota-anggotanya dan perkhidmatan tersebut termasuklah menyediakan barang-barang dan produk penggunaan harian.

“Saya nak Kohilal memperbanyakkan dengan kilang yang ada di Batu Caves dengan produk-produk yang boleh digunakan oleh keseluruhan ahli-ahli Kohilal,” katanya.

Beliau menggalakkan 18,000 ahli Kohilal menggunakan produk-produk yang dikeluarkan dari koperasi tersebut.

“Kalau kita ahli koperasi tidak sokong produk dari perkhidmatan koperasi ini, siapa lagi? Sebab konsep koperasi ialah ‘satu untuk semua, semua untuk satu’ iaitu satu koperasi untuk semua anggota’.

“Kesemua anggota kena sokong dan guna untuk satu produk koperasi,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran tersebut.

Di samping itu, SKM turut mengharapkan agar produk-produk koperasi dapat setanding dengan syarikat lain di pasaran khususnya produk-produk pengguna.

“Malah koperasi juga mungkin boleh membuka pasar raya atau boleh menggunakan e-digital marketing sama seperti sektor-sektor korporat yang lain.

“Akhirnya apabila koperasi untung, pulangan balik kepada anggota-anggota koperasi dan orang kata kalau koperasi berjaya anggota sejahtera,” katanya selepas beliau merasmikan pelancaran itu. – HARAKAHDAILY 13/3/2021

- Advertisement -