Peluang permuafakatan masih terbuka

- Advertisement -

RAMAI yang bersikap pesimistik terhadap keupayaan mewujudkan Gagasan Permuafakatan Politik Umat Melayu Islam, iaitu kerjasama politik antara parti-parti Melayu Islam terbesar dalam negara khasnya antara PAS, Umno dan BERSATU.

Ramai beranggapan hampir mustahil ketiga parti boleh menjalin kerjasama lantas akan terkuburlah cita-cita ini dan pada PRU ke-15 ini bersedialah untuk melihat parti-parti ini bertanding sesama sendiri mengakibatkan PH yang didominasi DAP bakal menangguk keuntungan paling besar.

Ini lantaran berlegarnya serang-menyerang antara ketiga pihak berkenaan khususnya di media sosial yang mencetuskan suasana tegang dan masa depan yang tidak menentu. Sekurang-kurangnya itulah persepsi yang timbul dan itulah juga yang sedang dimain dan diapi-apikan oleh musuh-musuh penyatuan ini.

- Advertisement -

Namun demikian realitinya kepimpinan ketiga-tiga parti sesungguhnya masih bertungkus-lumus berusaha merealisasikan impian politik umat Melayu ini. Benarlah banyak sangat perbezaan contohnya antara Umno dan BERSATU, walau bagaimanapun kiranya kepentingan ummah diletakkan di hadapan segala perbezaan ini dapat diuruskan dengan baik dan akhirnya segala perbezaan akan larut begitu sahaja.

Malam kelmarin contohnya kepimpinan tertinggi Muafakat Nasional diketuai bersama Timbalan Presiden PAS dan Umno iaitu Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Seri Mohammad Hassan serta Ahli-ahli Jawatankuasa masing-masing terus bermesyuarat di PWTC. Jalan perdamaian cuba dirintis demi keutamaan membela dan memperjuangkan nasib dan masa depan ummah.

Semalam pula akhbar The Star mengulas hubungan antara Umno dan BERSATU di bawah tajuk ‘BERSATU-Umno pact still intact’ ataupun ‘Pakatan BERSATU-Umno masih kukuh’. Laporan ini memetik pandangan kedua-dua Timbalan Presiden Umno dan BERSATU iaitu Datuk Seri Mohamad Hassan dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurut kedua mereka hubungan kerja antara ketiga-tiga parti Melayu BERSATU, Umno dan PAS masih erat dan anggapan bahawa kononnya Kerajaan Perikatan Nasional akan runtuh tidak berasas sama sekali. Menurut Mohammad kerjasama parti-parti ini adalah bagi memastikan Kerajaan Perikatan terus bergerak lancar demi kepentingan rakyat.

Dan malah menurut beliau lagi penyertaan PAS di dalam PN bersama BERSATU tidak menjejaskan hubungan Umno dan PAS. Kata beliau lagi Umno dan PAS sedang berusaha memperkukuhkan hubungan di peringkat akar umbi agar jika diadakan PRU, mereka tidak akan bersaing sesama sendiri.

Mohammad menegaskan kesemua parti yang berkenaan sedang mencari formula terbaik untuk berkerjasama apabila PRU dipanggil. Manakala Ahmad Faizal pula menyatakan dakwaan bahawa Umno akan meninggalkan Kerajaan PN adalah sekadar cakap-cakap kedai kopi. Hakikatnya pimpinan ketiga-tiga parti mempunyai hubungan yang baik malah contohnya di Perak walaupun Umno mengambil-alih teraju dari BERSATU namun pimpinan BERSATU terus memberikan kerjasama penuh dan menyokong kerajaan negeri pimpinan Umno.

Demikianlah maklumat terkini hubungan ketiga-tiga parti Melayu ini. Walau banyak yang kita dengar dan baca, hakikatnya usaha penyatuan dan permuafakatan jugalah yang sedang diberi keutamaan oleh saf kepimpinan ketiga-tiga parti.

Carilah perdamaian dan persepakatan insya-Allah dengan kejujuran dan keikhlasan kita akan jumpainya, manakala persengketaan dan perbalahan tidak perlu dicari-cari, ia sentiasa ada menunggu untuk memerangkap dan membinasakan siapa sahaja yang cenderung padanya. Lalu berhati-hatilah semua, Islam menuntut kita membina permuafakatan dan mengelakkan pecah-belah, bersamalah kita menyahutnya, jangan terpesona dengan gangguan musuh.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 12/3/2021

- Advertisement -