INDERA MAHKOTA: PAS Kawasan Indera Mahkota (PASKIM) telah kehilangan seorang amilin yang sangat komited dengan gerak kerja parti dan merupakan Ketua PAS Cawangan Beserah Selatan, Zaid Omar, 59.
Almarhum meninggal dunia akibat sakit jantung, tekanan darah rendah dan paru-paru berair setelah menghembus nafas terakhir di di kediamannya di Kampung Bugis Beserah, di sini kelmarin dahulu.
Menurut isterinya Faridah Husin 59, Almarhum adalah salah seorang yang telah bersama menubuh PASTI di Pelindung Beserah pada tahun 2004 di mana masih beroperasi sehingga sekarang ini.
ADUN Beserah, Andansura Rabu menyifatkan PAS Indera Mahkota dan Pusat Khidmat DUN Beserah telah kehilangan seorang penggerak utama khususnya di Cawangan Beserah Pantai Selatan itu.
“Almarhum yang mengusahakan pelbagai perkara demi untuk kepentingan masyarakat setempat. Jasa dan sumbangan beliau sangat besar kepada kebajikan terutama sekali soal-soal kebajikan di sekitar Beserah, Pelindung pasti terasa kehilangan beliau,” ujarnya.
Menurut Andansura yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, beliau juga merupakan wakil Zon Beserah dan Pelindung untuk Pusat Khidmat DUN Beserah.
“Banyak sumbangan beliau kepada saya secara peribadi menjadi wakil saya di kawasan tersebut. Almarhum telah menjalankan kerja dan tugasnya dengan begitu baik sekali.
“Kita doakan semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat-Nya ke atas roh beliau dan seterusnya menempatkan beliau sebagai salah seorg daripada hamba-Nya yang soleh.
“Kita ucap takziah seluruh ahli keluarga beliau dan bersabar di atas apa yang diuiji oleh Allah ini, Semoga roh beliau tenang di sana dan kita akan kenang jasa beliau, In sha Allah,” tambah Andansura.
Timbalan Ketua Muslimat Indera Mahkota, Azmoni Mohamad bersama Ahli Jawatankuasanya telah menziarahi balu almarhum untuk mengucapkan takziah dan menyampaikan sumbangan, kelmarin.
Almarhum meninggalkan seorang isteri dan tiga anak yang berumur antara 32 hingga 35 tahun dan jenazah telah dikebumikan di Perkuburan Kampong Pantai Beserah, kelmarin. – HARAKAHDAILY 12/3/2021