ADA pihak mempertikaikan kenapa di borang persetujuan penerimaan vaksin itu diletakkan bahawa:
‘1. Pengambilan vaksin COVID-19 ini mungkin akan menimbulkan reaksi serta kesan sampingan seperti yang dinyatakan di dalam Maklumat Vaksin COVID-19 Bagi Penerima Vaksin.’
‘2. saya bertanggungjawab ke atas risiko yang mungkin berlaku akibat keputusan atau tindakan saya ini kerana manfaat vaksin adalah jauh lebih baik daripada kesan sampingannya.’
Kita perlu faham bahawa keyakinan kita bahawa vaksin itu selamat berdasarkan kepada kajian yang telah pun dibuat. Vaksin itu selamat dan berkesan dengan jumlah peratusan tertentu. Selebihnya kita bertawakallah kepada Allah S.W.T. Bukan wilayah kudrat dan kekuasaan doktor untuk mencegah sesuatu itu tidak berlaku 100 peratus kepada setiap individu.
Begitulah keyakinan dan jaminan yang diberikan terhadap vaksin COVID-19 ini. Ianya perlu bersandarkan fakta kajian dan rekod pemberian yang telah dan berjalan sekarang ini. Bahawa tidak ada sesuatu yang membimbangkan setelah program imunisasi COVID-19 ini dijalankan di seluruh dunia. Tidak ada satu pun negara yang memberhentikan program imunisasi ini akibat berlakunya sesuatu yang teruk dan serius. Program imunisasi seluruh dunia diteruskan dengan jumlah jutaan dos suntikan diberi setiap hari tanpa sebarang masalah pun. Adakah terdapat laporan kesan sampingan? Ya, wujud tetapi majoritinya adalah kesan ringan yang boleh diuruskan.
Kalau benar berlaku sesuatu yang serius dan boleh merosakkan masyarakat, sudah pasti program imunisasi ini wajib diberhentikan segera. Adalah tidak mungkin dan tidak logik jutaan doktor seluruh dunia berpakat untuk menutup keburukan vaksin (jika ada).
Sudah lebih setahun kita bergelumang dengan wabak COVID-19 ini. Berbagai kaedah dan cara telah pun digunakan semata-mata ingin melandaikan keluk jangkitan COVID-19 dan memutuskan rantaiannya. Adalah tidak munasabah hanya dengan wujudnya vaksin COVID-19 ini seluruh doktor pakar bergabung fikiran dan tenaga ingin membunuh rakyat dengan menyuntik vaksin – seperti mana yang didakwa oleh segelintir pihak! Bahkan anggota kesihatan adalah antara barisan hadapan yang pertama diberikan vaksin COVID-19. Jika semua barisan hadapan ini cacat atau mati siapa lagi yang akan menjadi benteng negara?
Atas keyakinan itulah kami semua sukarela disuntik vaksin COVID 19 kerana melihat manfaat yang lebih besar daripada mudarat yang sedikit itu. Cuba fikirkan kembali apakah sumbangan kita di dalam memutuskan rantaian jangkitan dan melandaikan keluk wabak ini? Atau hanya pandai complain tetapi usahanya tiada!
DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 11/3/2021
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.