Banyak NGO luah puas hati prestasi kerajaan PN

- Advertisement -

KOTA BHARU: Biarpun kajian media tertentu terhadap prestasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) digambarkan merosot, sebaliknya banyak NGO dan orang ramai di peringkat akar umbi memberi rekreasi berbeza.

NGO Misi Kembara Dakwah (MKD), Ikatan Generasi Tumpat (Iget), Sinergi Intelektual Bachok, Kelab Kebajikan dan Rekreasi Anak Muda Pasir Puteh (Kemah) dan banyak NGO ditemui melahirkan rasa puas hati.

- Advertisement -
Mohd Khalid

Pengerusi MKD, Ustaz Mohd Khalid Mat Zari berkata, kerajaan PN fokus terhadap agenda yang dilaksanakan walaupun usianya baharu setahun.

Katanya kerajaan PN dianggap berjaya menyelesaikan masalah berkaitan Covid-19 dalam tempoh tidak sampai setahun, di mana peningkatan kes positif berjaya dilandaikan sekarang.

Menurutnya, walaupun ada pihak mendakwa tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan melaksanakan peraturan yang mengongkong pergerakan rakyat, namun usaha itu membuahkan hasil.

“Kerajaan sekarang dikira cukup memuaskan dari sudut kelancaran pentadbiran, penyampaian polisi kerajaan serta menyelesaikan pandemik,” katanya.

Akhbar Sinar Harian hari ini mendedahkan kajian di platform akhbar itu dan Sin Chew Daily menggambarkan 37 peratus rakyat tidak puas hati dengan pencapaian kerajaan PN.

Presiden Ikatan Generasi Tumpat, Mohammad Ni’am Ramdhani Mohd Nazam berkata, kerajaan PN cakna kepada rakyat termasuk mahasiswa kategori B40.

Katanya pandemik Covid-19 menyebabkan kebergantungan kepada capaian internet meningkat bagi membolehkan pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian.

Menurutnya juga dalam tempoh tidak sampai setahun kerajaan PN berjaya melakukan suntikan kewangan termasuk bantuan pelan data, pakej peranti dan ‘crowdfunding’ melalui Tabung Prihatin Siswa.

Mohd Firdaus

Penasihat Sinergi Intelektual Bachok, Ustaz Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, pelbagai manfaat disalur kepada rakyat dengan peruntukan kewangan begitu besar dikorbankan kerajaan PN.

“Kerajaan memperuntukkan sejumlah dana yang besar menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Prihatin PKS kemudian ada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana),” ujarnya.

Kelab Kebajikan dan Rekreasi Anak Muda Pasir Puteh pula melontarkan pujian terhadap kejayaan ditempa Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Pengerusinya, Suhaizi Kadir berkata, pekebun kelapa sawit dapat menarik nafas lega apabila harga komoditi itu kini meningkat dua kali ganda berbanding RM300 setan sebelum ini. – HARAKAHDAILY 11/3/2021

- Advertisement -