Wanita masih ketinggalan – SERI

Gambar sekadar hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Laporan Jurang Wanita Forum Ekonomi Dunia 2020 mendedahkan keseimbangan jantina tidak akan tercapai untuk tempoh 99.5 tahun.

Sekalipun wanita di Malaysia cemerlang berbanding lelaki dalam bidang pendidikan dan kesihatan, namun masih ketinggalan berbanding lelaki dalam penyertaan ekonomi dan politik.

Dedah laporan itu lagi, tujuh daripada sepuluh barisan hadapan terdiri daripada wanita, hanya menerima RM94.07 berbanding RM100 bagi lelaki.

Menurut, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Social & Economic Research Initiative (SERI), meskipun Malaysia melakar pelbagai kemajuan, pun begitu usaha merapatkan jurang ketidakstabilan melalui beberapa skop seperti peluang pekerjaan, tindakan undang-undang, peluang ekonomi, pemilikan harta tanah, pengembangan diri dan autonomi, akses kebudayaan dan penyertaan dalam keputusan dan perwakilan politik harus lebih proaktif.

- Advertisement -

“Dalam meraikan Hari Wanita Antarabangsa, kami menyeru dan menyokong sebarang perancangan, pelaksanaan dan penilaian dasar, rancangan dan program sebagai usaha mengangkat kesaksamaan dan penghapusan segala bentuk diskriminasi terhadap golongan wanita.

“Kita boleh melihat contoh pendekatan yang diambil Korea Selatan, Namibia, dan Mauritius, yang telah mengangkat kementerian wanita sebagai kementerian barisan hadapan selari dengan tanggungjawab besar dan langkah pemerkasaan kementerian tersebut yang turut mendapat dukungan semua barisan kementerian.

“Meraikan kesaksamaan jantina, melindungi hak kanak-kanak dan meningkatkan kesejahteraan keluarga secara keseluruhan tentu memerlukan kesepakatan usaha daripada pelbagai pihak demi mencorak Malaysia yang berdaya tahan dan inklusif pasca Covid-19,” kata SERI dalam satu kenyataan.

SERI berpendapat Malaysia mempunyai peluang untuk menemukan garis penamat bagi keganasan berdasarkan jantina (gender-based violence) dan merapatkan jurang jantina dengan modifikasikan dasar dan perundangan yang lebih mesra jantina.

Ianya suatu anjakan paradigma serta lonjakan kualitatif dalam pemerkasaan wanita dan kesejahteraan sosioekonomi, ke arah norma masyarakat yang lebih penyayang dan inklusif. – HARAKAHDAILY 10/3/2021