Perbelanjaan rawatan penyakit buah pinggang makin meningkat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jumlah penyakit kronik dan tidak berjangkit (NCD) di negara ini terus membebani sistem penjagaan kesihatan nasional dengan laporan berita yang menyoroti peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang dipengaruhi oleh penyakit yang sering dapat dicegah hingga menyebabkan kualiti hidup merosot dan kos semakin meningkat bagi bajet kesihatan.

Kajian terbaharu yang dijalankan oleh para pakar kesihatan tempatan menunjukkan bahawa penyakit buah pinggang kronik (CKD) menjadi satu daripada masalah kesihatan awam utama di Malaysia dengan peningkatannya tersebar luas manakala kesedaran mengenainya rendah.

Kajian itu juga memaparkan, dalam masa kurang dari satu dekad, kelaziman CKD meningkat dari 9.1 peratus pada tahun 2011 kepada 15.5 peratus pada tahun 2018. Yang membimbangkan adalah hanya lima peratus orang dengan CKD yang menyedari bahawa mereka menghidap penyakit ini.

Peningkatan jumlah CKD didorong oleh peningkatan NCD terutama diabetes Jenis 2 dengan hampir satu daripada lima orang dewasa Malaysia menghidap diabetes. Tekanan darah tinggi, obesiti dan penyakit kardiovaskular juga adalah faktor risiko yang boleh menyebabkan CKD.

- Advertisement -

Perspektif ekonomi

Malaysia juga mencatatkan antara nisbah tertinggi di dunia pesakit dengan penyakit ginjal peringkat akhir (ESRD) akibat diabetes. Adalah dilaporkan hampir 69 peratus kes ESRD baharu yang direkodkan dalam Malaysian Dialysis and Transplant Registry 2018 disebabkan oleh diabetes.

(ESRD berlaku apabila CKD – kehilangan fungsi buah pinggang secara beransur-ansur – mencapai keadaan maju dan buah pinggang berhenti berfungsi secara tetap yang menyebabkan perlunya dialisis atau pemindahan buah pinggang untuk mengekalkan kehidupan).

Presiden Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN), yang juga ahli nefrologi perunding kanan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Abdul Halim Gafor berkata, pakar kesihatan telah melakukan beberapa kajian dari perspektif ekonomi untuk menilai kos dan kelestarian jangka panjang perawatan ESRD termasuk rawatan dialisis di negara ini.

Pada 2010, jumlah perbelanjaan ESRD di Malaysia ialah 2.95 peratus daripada jumlah perbelanjaan sektor kesihatan awam tetapi ia meningkat kepada 4.2 peratus pada 2016.

Menurut Dr Abdul Halim, jumlah perbelanjaan kesihatan bagi sektor awam untuk penjagaan ESRD dianggap besar dan tidak seimbang berbanding dengan jumlah pesakit ESRD yang dilaporkan dalam Malaysia Dialysis and Transplant Registry Malaysia yang berjumlah kira-kira 44,000 pesakit pada tahun 2018.

Beliau memberitahu Bernama bahawa kajian mereka mengunjurkan bahawa – berdasarkan arah aliran semasa dan jika keadaan tidak dapat dikendalikan – jumlah pesakit ESRD akan mencapai hampir 51,000 pada tahun 2020 dan 106,000 pada tahun 2040 yang akan menelan belanja sistem penjagaan kesihatan yang dianggarkan masing-masing bernilai RM1.5 bilion dan RM3.2 bilion.

Pengesanan awal

Pada masa kini, Kementerian Kesihatan memberi tumpuan bagi menangani beban kesihatan ini dengan menggunakan pendekatan multi-agensi untuk mengurangkan NCD termasuk menganjurkan pencegahan dan rawatan awal CKD dengan melakukan pemeriksaan penyakit buah pinggang.

Dr Abdul Halim berkata, jika ia dikesan awal dan diurus dengan baik, kadar kemerosotan fungsi buah pinggang dapat dilewatkan dengan ketara.

Beliau berkata, CKD selalunya tanpa gejala pada peringkat awal dan individu mungkin tidak mengalami gejala yang ketara sehingga mereka mencapai tahap lanjut penyakit ini.

Ini mungkin, sebahagiannya menyebabkan pengesanan CKD yang terlewat atau lambat sehingga menyumbang kepada peratusan rendah individu dengan CKD yang menyedari penyakit ini, katanya.

“Saringan awal CKD dalam kalangan individu berisiko tinggi seperti mereka yang menghidap diabetes atau hipertensi adalah sangat penting. Kami menggalakkan kumpulan ini untuk berunding dengan doktor atau penyedia penjagaan kesihatan mereka untuk menilai risiko CKD secara berkala.

“Sekiranya dikesan lebih awal dan dikendalikan dengan tepat, kita dapat menunda kadar kemerosotan fungsi ginjal dengan ketara. Pesakit juga boleh bebas dialisis selama bertahun-tahun dengan risiko komplikasi yang rendah,” katanya.

Dr Abdul Halim berkata, MSN telah bekerjasama dengan Kementerisan Kesihatan (KKM) dan badan bukan kerajaan seperti Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia dan MedTweetMy untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap CKD dan mendidik pesakit dan penjaga mereka dengan memberi maklumat yang betul mengenai cara menguruskan penyakit ini.

Menghapuskan maklumat salah

Pakar Perunding Nefrologi Dr Rafidah Abdullah, yang juga naib presiden MedTweetMy dan pengerusi bersama MYBuahPinggang.com berkata, maklumat salah dan peredaran berita palsu memberi kesan besar kepada pesakit CKD yang sering mendapatkan pendapat bukan perubatan menerusi media sosial yang akan memberi mereka harapan palsu untuk penawar.

“Mereka akhirnya mengalami lebih banyak komplikasi dan mempercepatkan perkembangan CKD. Mereka mungkin akhirnya harus menjalani dialisis lebih awal berbanding jika mereka mengikuti rawatan yang diberikan oleh profesional penjagaan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, MedTweetMy, dengan sokongan oleh Kementerian Kesihatan, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia dan AstraZeneca Malaysia, telah membangunkan sebuah portal MYBuahPinggang.com bagi menyediakan akses mudah kepada maklumat penuh dan tepat mengenai penyakit buah pinggang.

“Laman web MYBuahPinggang.com dibangunkan untuk mengatasi maklumat salah. Ia berfungsi sebagai pusat sehenti bagi orang ramai, pesakit dan keluarga untuk mendapatkannya (maklumat mengenai penyakit buah pinggang). Laman web ini akan diperluas dengan memberikan maklumat yang lebih mendalam mengenai diabetes dan modul pendidikan pra-dialisis,” tambah Dr Rafidah.

Laman web MYBuahPinggang.com boleh dilayari menerusi mybuahpinggang.com. – BERNAMA

Rencana ini bersempena dengan Hari Buah Pinggang Sedunia 2021 yang disambut setiap 11 Mac.

- Advertisement -