Jawatankuasa khas ditubuh kendali kes Sg Kereh

- Advertisement -

YBHG Dato’ Dr. Nadzri bin Yahaya, Pengerusi Pasukan Petugas Pencemaran Sungai Kereh, Pulau Pinang merangkap Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling telah membentangkan Laporan Akhir Pencemaran Sungai Kereh daripada Pengoperasian Ladang Ternak Khinzir di Kampung Selamat, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang kepada YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim b Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air petang ini.

Tujuh (7) langkah telah dibentangkan bagi menangani isu pencemaran ini di peringkat punca dan kualiti air sungai iaitu:

i. Mempertingkatkan penguatkuasaan melalui:

a. Enakmen Penternakan Babi (Negeri Pulau Pinang) 2016 yang berkuatkuasa bermula 1 Januari 2020;
b. Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020 yang berkuatkuasa pada 1 Mac 2020;
c. Undang-Undang Kecil Bayaran Lesen Majlis Perbandaran Seberang Perai 1980;
d. Akta Kerajaan Tempatan 1976; dan
e. Pelaksanaan tindakan merobohkan ladang yang tidak mempunyai lesen dan kebenaran merancang akan dilaksanakan bermula pada 1 Januari 2022;

- Advertisement -

ii. Memantau secara berkala kualiti air sisa yang dilepaskan daripada ladang ternakan dan memastikan ianya mematuhi standard yang ditetapkan di dalam Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020.

Penternak juga akan diarahkan untuk membuat persampelan kualiti air sisa yang dilepaskan setiap dua (2) bulan dan melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan. Laporan pertama dijangka akan diterima bermula 1 Mac 2021;

iii. Melaksanakan projek perintis pemasangan sensor NAHRIM Environmental Sensor System (NUESS) di salah satu ladang khinzir yang terpilih. Ini bertujuan untuk memantau kualiti air yang dilepaskan oleh ladang secara jarak jauh dan beroperasi selama 24 jam bagi setiap ladang. Parameter yang diukur adalah pH, Oksigen Terlarut (DO), Keperluan Oksigen Kimia (COD), Keperluan Oksigen Kimia (COD), Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Ammoniakal Nitrogen dan Jumlah Pepejal Terampai (TSS);

iv. Merawat air sisa buangan ternakan khinzir ini di dalam kolam yang dibina khusus di lokasi yang dikenalpasti dengan menggunakan NAHRIM Enzyme (N-zyme) dan bahan flokulasi mesra alam;

v. Mengukur kualiti air sungai pada setiap bulan di empat (4) stesen di sepanjang Sungai Kereh;

vi. Menaiktaraf struktur weir dan membuang enapan sungai di Parit Besar, Parit Kubang Menerong dan Parit Kampung Baharu bagi mengurangkan bebanpencemaran sedimen kepada pencemaran sistem sungai ketika ini; dan

vii. Memperkasakan komuniti melalui Program Denai Sungai Kereh bagi pembersihan, pemuliharaan, pemeliharaan serta perlindungan Sungai Kereh.

Program ini melibatkan sokongan semua agensi termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan penternak. Penglibatan rakan strategik adalah bagi tujuan sokongan peruntukan dan dana juga perlu diberikan galakan dan pengiktirafan.

Pasukan petugas ini juga mencadangkan agar satu (1) kajian dibuat oleh pihak Kerajaan Negeri untuk menetapkan kadar sara diri pengeluaran khinzir yang setara dengan daya tampung Sungai Kereh.

KASA turut bersetuju Laporan Akhir Pencemaran Sungai Kereh daripada Pengoperasian Ladang Ternak Khinzir di Kampung Selamat, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar perancangan dan pelaksanaan syor di atas dapat dilaksanakan sekaligus memastikan isu pencemaran ini ditangani dengan berkesan dan baik. – HARAKAHDAILY 10/3/2021

- Advertisement -