Berbuat baik kepada haiwan

- Advertisement -

PROGRAM hari melakukan lawatan rasmi ke Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungkai, Perak. PKHL berkeluasan 25 hektar di bawah Jabatan Perhilitan Negeri Perak. Pusat ini melakukan penyelidikan, kajian, pusat pembiakan spesis terancam dan juga menjadikan taman hidupan liar sebagai pusat aktiviti pelancongan.

Program ini turut dihadiri oleh Y. Bhg. Tuan Haji Yusoff bin Shariff, Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Perak, Y. Bhg. Tuan Shahrul Affendi Baharudin, Pegawai Daerah Batang Padang, Puan Syahida Mohd Zin, wakil YDP Majlis Daerah Tapah, Ahli Majlis Daerah Tapah, Y. Bhg Puan Salmah Abd. Latif dan Ustaz Tarmizi Abd. Rahman, Yang Dipertua PAS Tanjung Malim.

Saya dibawa meninjau pelbagai haiwan yang diancam kepupusan ada di sini, dipelihara dan dibiakkan. Sampai masanya, apabila mencapai bilangannya yang tertentu, ia akan dilepaskan ke habitat asalnya. Sebelum ini kita mendengar berita mengenai ‘Scarface’ yang pernah membaham manusia. Kita juga pernah dengar Awang Rasau yang membaham 30 ekor lembu di Terengganu. Spesis Harimau Malaya itu ditangkap dan ditempatkan di sini kerana ia termasuk spesis yang terancam.

- Advertisement -

Namun, kedua-duanya sudah tiada lagi. Di sini, saya sempat melihat anak ‘Scarface’ yang sedang membesar. Selain dari Harimau Malaya, ada juga spesis Tapir yang diselamatkan yang diberi nama Cik Li, yang mana kaki kanannya robek disebabkan perangkap yang dipasang oleh pemburu haram. Bukan sekadar itu, Cik Li juga turut diparang badannya. Ada seekor tapir yang lain, yang buta matanya. 

Justeru itu, tindakan menyelamat oleh Jabatan PERHILITAN telah dilakukan dan dipelihara di sini. Ada juga spesis Seladang yang terkenal dengan kepantasannya. Ada kalanya ia membuang najis, sebelum sempat najis itu ‘mendarat’ di tanah, ia sempat berpusing dan menanduk najisnya itu. Itulah gambaran kepantasannya yang luar biasa. Haiwan ini juga dikatakan pernah menanduk pemburu haram sehingga mati.

Merak Hijau antara spesis yang pernah pupus di Malaysia pada 1930an. Spesis ini yang terakhir ditemui di Terengganu ketika itu. Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk membeli spesis ini dari Jerman dan Belgium untuk dibiakkan di sini.

PERHILITAN meletakkan harapan agar bilangan spesis ini bertambah, dan dilepaskan pada 2024. Inilah detik bersejarah apabila binatang yang sudah pupus di Malaysia muncul kembali:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَيْنَا رَجُلٌ يَمْشِي فَاشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ فَنَزَلَ بِئْرًا فَشَرِبَ مِنْهَا ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا هُوَ بِكَلْبٍ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنْ الْعَطَشِ فَقَالَ لَقَدْ بَلَغَ هَذَا مِثْلُ الَّذِي بَلَغَ بِي فَمَلَأَ خُفَّهُ ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ ثُمَّ رَقِيَ فَسَقَى الْكَلْبَ فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَإِنَّ لَنَا فِي الْبَهَائِمِ أَجْرًا قَالَ فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ

“Dari Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Ada seorang laki-laki yang sedang berjalan lalu dia merasakan kehausan yang sangat sehingga dia turun ke suatu perigi lalu minum dari air perigi tersebut. Ketika dia keluar dari perigi, didapatkannya seekor anjing yang sedang menjulurkan lidahnya menjilat-jilat tanah kerana kehausan. Orang itu berkata: “Anjing ini sedang kehausan seperti yang aku alami tadi”. Maka dia (turun kembali ke dalam perigi) dan diisi kasutnya dengan air dan sambil menggigit kasutnya dengan mulutnya dia naik keatas lalu memberi anjing itu minum. Kemudian dia bersyukur kepada Allah maka Allah mengampuninya”. Para Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah kita akan dapat pahala dengan berbuat baik kepada haiwan?” Baginda S.A.W menjawab: “(Berbuat baik) pada setiap makhluk bernyawa diberi pahala.””

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

YB MOHD AKMAL KAMARUDIN
Exco Kerajaan Negeri PerakHARAKAHDAILY 10/3/2021

- Advertisement -