Vaksin adalah ikhtiar, bukan mukjizat

- Advertisement -

VAKSIN bukan mukjizat. Seluruh manusia di alam ini tahu bahawa vaksin bukannya magik. Vaksin adalah penemuan sains. Di mana sains itu adalah disiplin ilmu sebab-akibat. Apa sahaja yang berlaku sesuatu atas dunia mengakibatkan terjadinya sesuatu – itulah asbab musabab. Ilmu ini telah digarap dan dikaji oleh para saintis sama ada ianya Islam ataupun bukan-Islam. Ini adalah keluasan ilmu yang Allah Taala kurniakan kepada manusia yang berakal. Sains tak mampu membuktikan Khawariq al-Adat (Keajaiban mencarik kebiasaan atau adat). Islam tak menafikan sains bahkan sains banyak membuktikan kebenaran Islam sebab Allah adalah pencipta sains.

Disiplin ilmu sains tiada pertembungan dengan disiplin ilmu syariat dan akidah pun. Malah ianya dituntut. Kita sebagai seorang Muslim disuruh untuk mengkaji sebab akibat ini supaya kita lebih yakin dengan apa yang kita lakukan dalam ilmu keduniaan. Kita kena tahu Islam meraikan Syariatullah (Isi agama) dan Sunnatullah (Sains).

- Advertisement -

Ada segelintir pihak mempersoalkan jangan terlalu percaya kepada sains kerana sains itu tidak boleh membuktikan apa yang telah berlaku dalam al-Quran dan Hadis. Sebagai contohnya al-Quran menyebut mengenai Nabi Musa A.S yang menggunakan tongkat membelah lautan, Sayidina Maryam yang melahirkan Nabi Isa A.S tanpa bapa dan banyak lagi. 

Adakah sains boleh membuktikan mukjizat para Nabi? Sudah tentu tidak! Membuktikan perkara di luar adat kebiasaan seperti mukjizat para Nabi, karamah para Waliyullah atau Irhasy para Solehin adalah di luar dari konteks sains. Kami pun percaya perkara itu wujud. Sebagai doktor Muslim, kami memegang akidah itu.

Namun kalau perkara yang di luar kebiasaan itu berlaku pada zaman sekarang, sudah tentu perlu dijelaskan melalui sains. Zaman sekarang sudah tiada Rasul dan Nabi. Peristiwa mukjizat seperti yang berlaku ke atas Rasul dan Nabi itu sudah tidak wujud.

Andai kata ada seorang ibu di hujung kampung mengaku bahawa beliau melahirkan anak tanpa bapa, tak akanlah para alim ulamak ataupun hakim akan mudah mempercayai beliau. Dek kerana hujahnya – peristiwa kelahiran bayi itu ibarat seperti Maryam A.S yang melahirkan Nabi Isa! Takkan hakim akan percaya dakwaan itu. Sudah semestinya hakim merujuk kepada doktor supaya membawa karinah atau bukti dari sudut sains perubatan. Jika tiada bukti hakim boleh anggap si ibu itu gila kerana membuat dakwaan yang di luar konteks atau tabii sains moden. 

Adakah bermakna hakim itu menidakkan apa yang telah berlaku pada Saidina Maryam A.S? Tidak! Sebab semua yang berlaku di kalangan para Nabi dan berlaku dalam al-Quran itu adalah mukjizat ataupun karamah yang telah diberikan kepada individu yang khusus dinyatakan oleh Allah S.W.T.

Jangan kita mencampur-adukkan berkaitan dengan mukjizat, karamah, irhasy dengan ilmu teknologi pada masa sekarang. Kalau kita cuba campur-adukkannya, nampak sangat bahawa kurang cerdiknya kita sebagai orang Islam kerana menolak perkembangan ilmu. 

Vaksin adalah ikhtiar yang dijalankan oleh manusia untuk mencegah penyakit berjangkit berlaku dalam masyarakat. Ia bukannya magik, bukan juga 100 peratus sempurna. Tetapi ianya masih lagi terangkum dalam wilayah ilmu sebab akibat yang dinamik. Bukti-bukti kajian terbaharu akan senantiasa digali dari masa ke semasa. Setelah berikhtiar, maka bertawakallah.

Tawakal tidak berdiri sendirian tanpa ikhtiar. Sebagai orang awam, kita tidak dikurniakan mukjizat, karamah atau irhasy. Sesuatu yang di luar dari lingkungan keistimewaan tersebut bagi orang awam adalah dikira sebagai mencarik adat. Jika berlaku sesuatu yang di luar kotak pemikiran manusia, ianya adalah anugerah Allah kepada individu tersebut. Tetapi tidak semuanya berkebetulan tanpa melalui jalan sains ikhtiar. Oleh yang demikian jika ada bertanya apakah jaminan bahawa vaksin itu selamat atau setelah diberi vaksin itu tidak sesekali akan dijangkiti oleh COVID-19? 

Kita perlu menyatakan bahawa keyakinan kita berdasarkan kepada kajian yang telah pun dibuat bahawa vaksin itu selamat dan berkesan dengan jumlah peratusan tertentu. Selebihnya kita bertawakallah kepada Allah S.W.T. Kita bukan para Nabi atau para Rasul untuk mencegah sesuatu itu tidak berlaku 100 peratus kepada setiap individu.

Rasulullah juga melakukan usaha dan ikhtiar. Malah Rasulullah S.A.W berperang dengan tombaknya dan memakai baju besi dalam pelbagai peperangannya. Baginda Nabi S.A.W juga memakai topi besi pada kepalanya. Jika ikut logik maka Rasulullah S.A.W tak perlulah pakai topi besi ataupun baju besi, memadai dengan mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah S.W.T. Tetapi tidak. Rasulullah S.A.W adalah contoh untuk kita ikuti melakukan segala ikhtiar yang ada dalam kehidupan kita sebelum bertawakal kepada Allah. Rasulullah S.A.W juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:

اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ

“Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakal.”

[Riwayat al-Tirmizi (2157) dan Ibn Hibban (708)]

Rasulullah S.A.W memerintahkan kepadanya untuk melakukan usaha terlebih dahulu dan kemudian menyerahkan urusannya kepada Allah S.W.T. Justeru, hendaklah wujud usaha dalam sesuatu perkara di samping penyerahan urusan kepada Allah S.W.T.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 9/3/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -