Umno, PAS Selangor tolak jawatan PeKT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umno dan PAS Negeri Selangor memaklumkan bersepakat menolak jawatan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) sebagaimana agihan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), baru-baru ini.

Dalam kenyataan media bersama semalam, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata pihaknya bersolidariti menolak jawatan itu.

Kata mereka, PAS Selangor menolak jawatan itu dengan tidak mencalonkan mana-mana nama sebagai tanda solidariti dan sokongan.

Sementara Umno sebelum ini telah menghantar nama, namun telah mengambil keputusan untuk menarik balik dan menolak jawatan PeKT itu.

- Advertisement -

“Umno dan PAS hari ini bersoladiriti dalam menolak pelantikan jawatan PeKT sebagaimana agihan oleh KPKT baru-baru ini.

“Sebagai tanda solidariti dan sokongan, walaupun Umno Selangor telah menghantar nama sebelum ini, telah mengambil keputusan untuk menolak jawatan itu yang ditawarkan,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Keputusan itu dicapai bersama selepas satu mesyuarat Muafakat Nasional peringkat Negeri Selangor yang telah diadakan malam tadi di Pejabat Badan Perhubungan Umno Selangor, Shah Alam.

Pada pandangan mereka, jawatan dalam kerajaan bukanlah bahan tawar-menawar tetapi lebih kepada menjaga kebajikan rakyat dan bukan dipergunakan untuk kepentingan politik pihak-pihak tertentu.

PeKT adalah suatu inisiatif di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memperkasakan komuniti melalui pelaksanaan matlamat-matlamat Dasar Komuniti Negara. – HARAKAHDAILY 9/3/2021

- Advertisement -