Tuhan laknat perasuah – Tuan Guru Abdul Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Tuhan melaknat orang yang memberi rasuah, menerima rasuah dan memberi kemudahan rasuah, itu ajaran yang terang dalam ajaran islam,” kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, semua yang terlibat rasuah tanpa mengira sama ada pemimpin yang paling tinggi mahupun yang paling rendah tetap di haramkan di dalam islam dan tidak dikecualikan dalam masalah rasuah.

Demikian jawab Hadi ketika ditanya Whoon Choon Tat berhubung pandangan beliau terhadap rasuah terutama rasuah yang melibatkan ahli-ahli politik ataupun pemimpin Negara.

- Advertisement -

“Kita tolong orang miskin, orang yang berada tolong orang miskin, seorang wakil rakyat tolong orang miskin, namun dia tidak boleh paksa orang itu sokong dia atau tidak sokong. Kalau dia paksa ia boleh jadi rasuah, tapi paksa tidak boleh.

“Kadang-kadang dianggap rasuah kerana menolong orang miskin, itu tidak boleh dan tidak betul.

“Sebab itu, kita mesti (faham) skop takrif rasuah itu, kena beza orang yang buat kebajikan dengan betul-betul dan yang melakukan rasuah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Webinar Dialog Presiden PAS bersama NGO dan YouTuber Chinese yang disiarkan secara langsung di Harakah TV hari ini.

Dialog tersebut dibarisi panelis, Bodhi Buddhist Fellowship Malaysia (BBFM), Whoon Choon Tat, Christian for Peace Harmony in Malaysia, Jason Leong dan Apek Cina, Zee How manakala Moderator, Dr Fuad Salleh. – HARAKAHDAILY 9/3/2021

- Advertisement -