Tompokan hitam di Sungai Kim Kim bukan sisa kimia

Foto daripada Facebook Dato' Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man.
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Tompokan hitam yang didakwa mencemari Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, dekat sini baru-baru ini, dikenal pasti sebagai sisa bahan buangan tidak berbahaya, yang dilepaskan menerusi pelbagai aktiviti kilang berhampiran.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ia sekali gus menolak laporan berita sebuah akhbar tempatan semalam yang melaporkan kemungkinan tompokan hitam itu adalah daripada pembuangan sisa kimia.

“Sebenarnya yang berlaku itu bukanlah pencemaran sisa toksik, jadi laporan (berita) itu sebenarnya tidak begitu tepat, dan dari sampel yang kita sudah ambil, didapati sebenarnya ia hanya pencemaran (pelepasan) biasa daripada kilang dan tidak berbahaya kepada penduduk, (bukan) seperti pencemaran yang berlaku pada tahun 2019,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sungai Kim Kim di Jalan Keluli 10 di sini, hari ini, bagi meninjau sendiri satu laporan media yang mengatakan bahawa tompokan hitam yang mengalir di sungai berkenaan berkemungkinan melibatkan pelepasan sisa kimia yang lebih besar daripada tragedi Sungai Kim Kim, dua tahun lepas.

Beliau berkata sekiranya pencemaran itu telah berlaku dalam tempoh sebulan seperti yang dilaporkan, sudah pasti pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) tahu mengenainya kerana pemantauan memang dibuat secara berterusan di sungai berkenaan.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata kementeriannya memberi fokus untuk bersama dengan komuniti seperti pihak swasta, universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mengerakkan usaha mengawal pencemaran sungai meneusi melalui projek Denai Sungai Kim Kim.

Projek yang bermula hari ini, diharap dapat menceriakan semula Sungai Kim Kim yang telah tercemar sebelum ini.

Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon yang turut sama meninjau sungai itu berkata beliau akan memastikan projek itu berjaya, selain turut berhasrat menubuhkan Rakan Alam Sekitar bagi membolehkan masyarakat memantau pencemaran di kawasan sekitar.

Sementara itu merujuk kepada pertemuan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad hari ini, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berkata ia sekadar kunjungan hormat beliau sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air.

Beliau berkata antara yang dibincangkan dengan Hasni yang juga Ahli Undangan Negeri Benut itu ialah berkaitan tanggungjawab di peringkat kementerian seperti pengurusan sistem kumbahan dalam kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Pasir Gudang.

“Juga dibincangkan isu-isu yang melibatkan ingatan kepada pembakaran terbuka, sebab sekarang ini musim panas dan oleh kerana Johor ada kawasan tanah gambut yang sensitif kepada pembakaran terbuka, jadi kita berharap semua pihak dapat mengambil tindakan segera supaya tidak ada pembakaran terbuka dibuat pada waktu ini,” katanya.

Pagi tadi, Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Johor memuat naik beberapa keping gambar di laman Facebook miliknya mengenai perjumpaan itu. – BERNAMA

- Advertisement -