Kementerian sasar lahir 750 usahawan muda tahun ini

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan komited melahirkan usahawan (agropreneur) muda yang mampu menjadi ikon bagi mendorong golongan muda terlibat dalam sektor pertanian.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, program agropreneur muda diperkenal kementerian pada 2016.

Katanya sasaran golongan muda berumur 18 hingga 40 tahun, di mana berjaya menarik minat mereka mencebur diri dalam bidang pertanian.

“Usaha kerajaan sekarang sebagai kesinambungan untuk golongan muda,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Ampang Jajar, semalam.

- Advertisement -

Menurutnya juga golongan muda perlu berfikiran positif dan tidak perlu memikirkan soal payah, bahaya dan kotor bagi menjamin pulangan sehingga mampu melahirkan ramai jutawan.

Malah katanya, kementerian mensasar tahun ini melahirkan 750 usahawan muda yang berjaya di seluruh negara melalui program tersebut.

Kata beliau juga bantuan berbentuk geran barangan keperluan berjumlah RM20,000.

Selain itu pembiayaan kos melalui pinjaman Usahawan Muda Tekun Nasional sehingga RM50,000 dan Agrobank RM200,000.

“Malah bajet 2021 mensasarkan sehingga RM15 juta untuk program yang bermanfaat khususnya kepada golongan muda.

“Di seluruh negara seramai 6,900 orang diberi geran membabitkan kos berjumlah RM121.97 juta selain 61 antaranya mendapat faedah pinjaman Tekun Nasional dan Agrobank.

“Di Kedah daripada 2016 hingga 2020 seramai 725 orang menerima geran melibatkan RM21.9 juta,” katanya.

Che Abdullah juga berkata, program itu melibatkan usahawan semua jenis bidang pertanian, industri makanan dan perikanan.

Seramai 133 agropreneur muda daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah MAFI menerima cek Geran Agropreneur Muda 2020 sempena Program Jelajah Agropreneur Muda Kedah.

Turut hadir pada program itu Pengerusi MADA, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman, Pengurus Besar MADA Dato’ Fouzi Ali dan Pengarah Unit Agropreneur Muda MAFI Mohammad Ezri Shamsuddin.

Che Abdullah turut melawat ladang mempelam Harumanis, Laman Pertanian dan Rumah Kelulut di Jitra dan kilang pemprosesan ayam Bismi di Simpang Empat, Kuala Kangkong. – HARAKAHDAILY 9/3/2021

- Advertisement -