Kedah tetap mahu Pulau Pinang bayar caj air

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah tidak akan berhenti bercakap mengenai isu bayaran penggunaan air oleh Pulau Pinang sehingga kerajaan DAP membuat bayaran mengikut kadar penggunaan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, selain itu bayaran bagi penyelenggaraan kawasan tadahan air.

“Konsep adil dan saksama perlu diguna dalam menyelesaikan pertikaian berhubung hak penggunaan sumber air Sungai Muda yang diguna sehingga 56 peratus oleh Pulau Pinang sekarang.

“Pulau Pinang sebenarnya hanya berhak menggunakan lima peratus air Sungai Muda berdasarkan keluasan kawasan tadahan air di bahagian sungai yang dimiliki Kedah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

- Advertisement -

Akhir tahun lepas, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dituntut membayar RM50 juta setahun kepada kerajaan Kedah bagi caj penggunaan air mentah dari jawasan Ulu Muda.

Muhammad Sanusi berkata, Pulau Pinang sewajarnya membayar kos penyelenggaraan berikutan Kedah memiliki sehingga 95 peratus kawasan tadahan di kawasan Ulu Muda.

Malah katanya berdasar undang-undang antarabansa had penggunaan air mengikut keluasan kawasan tadahan dan lembangan sungai yang dimiliki.

“Mengambil kira pandangan itu kita mendapati kawasan tadahan Sungai Muda yang dimiliki Pulau Pinang hanya lima peratus, maka hak penggunaan air untuk mereka hanya lima peratus sahaja.

“Tetapi apa yang berlaku negeri itu mengambil sehingga 1,200 juta liter sehari (MLD) air dari Sungai Muda yang dipam ke Empangan Mengkuang sebelum disalurkan ke bahagian pulau.

“Sedangkan Kedah hanya menggunakan 780 MLD dari sumber air yang sama,” sambung Sanusi.

Menurutnya juga pertikaian seumpama itu berlaku melibatkan sekatan air di hulu Sungai Nil Mesir sehingga menyebabkan hak negara di hilir terjejas, maka hak riparian dirujuk.

Beliau berkata, hak riparian terkeluar bagi tanah atau tempat yang tidak mempunyai sempadan dengan sungai.

“Dalam keadaan ini hanya Seberang Perai berhak menggunakan sumber air Sungai Muda. Pulau Pinang seharusnya mengambil contoh kes yang berlaku di Australia dan Kanada di mana negara berkenaan membayar kos penyelenggaraan kepada negeri yang mempunyai kawasan tadahan air,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/3/2021

- Advertisement -