Bermuafakat sampai bila-bila

- Advertisement -

SEBAGAI sebuah gerakan Islam isu penyatuan dan perpaduan ummah buat PAS adalah suatu yang terlalu dekat di hati. Satu tuntutan yang besar yang perlu diutamakan. Inilah jalan yang pernah diteroka oleh Rasulullah S.A.W sehingga membina kekuatan luar biasa hasil penyatuan Aus dan Khazraj dan seterusnya antara Ansar dan Muhajirin. Melalui kekuatan penyatuan itu terbentuk Negara Islam Madinah yang seterusnya menyebar luaskan cahaya Islam ke segenap pelosok dunia.

Bagi PAS umat Melayu Islam yang merupakan majoriti penduduk dalam negara perlu bersatu. Parti-parti politik yang mewakili kelompok ini perlulah bermuafakat agar kekuatan yang sama yang pernah dibina junjungan besar kita juga akan terlaksana di tanah air bertuah ini. Kita telah lihat apa berlaku apabila kita gagal bersatu.

- Advertisement -

Usaha ke arah penyatuan tidak mudah kerana masing-masing punya sejarah dan pengalaman berbeza tetapi kesatuan akidah sewajarnya menjadi pencetus dan pemangkin ke arah penyatuan yang dimaksudkan sebagaimana dibuktikan oleh Rasulullah S.A.W. Kerana itu Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik sebagai berkata:

“Saya yakin muafakat politik ini bukan sahaja untuk parti tetapi untuk masa depan negara dan seluruhnya. Sebarang keputusan politik melibatkan masa depan negara, jadi bagi PAS, kita lihat ketiga-ketiga parti perlu teruskan muafakat bukan sahaja sampai Pilihan Raya Umum (PRU) tetapi sampai selepas PRU nanti.”

PAS merayu agar kepentingan, nasib dan masa depan ummah dijadikan keutamaan dan kesatuan akidah menjadi pendorong ke arah permuafakatan ummah ini. Bermuafakatlah kita.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 9/3/2021

- Advertisement -