Agrikomoditi perlu lebih ramai tenaga kerja tempatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 merupakan platform yang amat baik untuk membantu pihak industri mendapatkan pekerja dengan kadar segera sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada warga tempatan dan masyarakat Orang Asli yang terjejas akibat penularan Covid-19, kata Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Menurutnya, karnival itu juga bertujuan bagi mengatasi masalah pengganguran kerja dalam sektor perladangan dan industri komoditi berikutan Covid-19 serta dasar ekonomi kerajaan yang mahu sektor berkenaan dikuasai semula oleh pekerja tempatan berbanding sebelum ini yang dimonopoli tenaga kerja asing.

Mohd Khairuddin menjelaskan, sektor komoditi antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara selain daripada sektor pembuatan, pertanian dan pelancongan.

“Sehingga 31 Disember 2020, sektor komoditi serta produk berasaskan komoditi telah menyumbang sebanyak RM85.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

- Advertisement -

“Daripada jumlah tersebut, RM48.3 bilion disumbangkan kepada sektor sawit bagi memastikan prestasi sektor komoditi negara kekal mampan.

“Modal insan yang berpengetahun dan berkemahiran amat diperlukan bagi memastikan produktiviti sektor komoditi dapat dipertingkatkan bagi menjana pendapatan negara,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam satu Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 KPPK secara dalam talian, hari ini.

Karnival yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyasarkan 3,000 penyertaan dalam kalangan warga tempatan dan komuniti Orang Asli.

Sehubungan itu katanya, menyedari kekangan penggajian tenaga pekerja asing ekoran penutupan sempadan yang dilaksanakan kerajaan akibat penularan Covid-19 dan norma baharu telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan khususnya kepada warga tempatan.

Walau bagaimanapun, pengisian tenaga kerja yang diperlukan beberapa sektor masih lagi diperlukan kerana banyak kekosongan jawatan termasuklah sektor perladangan dan sektor komoditi.

“KPPK melalui Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) turut memberi tumpuan terhadap usaha membangun dan memberi tumpuan modal insan terutamanya meningkatkan bilangan pekerja mahir dan separa mahir.

“Sektor ini amat memerlukan tenaga pekerja tempatan bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing yang dianggarkan sebanyak 75 peratus,” katanya.

Turut bersama-sama di dalam majlis perasmian tersebut, Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri M.Saravanan, Ketua Setiausaha KSM, Dato’ Jamil Rakon, Ketua Setiausaha KPPK, Dato’ Ravi Muthayah.

Selain itu, turut dihadiri Pengerusi Lembaga PERKESO, Tan Sri Prof Dr Mohammed Haniffa Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, dan Ketua Pejabat Sistem Pekerjaan PERKESO, Dato’ Mohd Sahar Darusman.

Mohd Khairuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut memaklumkan, terdapat lebih 60,000 kekosongan jawatan dalam sektor komoditi yang dianjurkan dalam Karnival Kerjaya Agrikomoditi ini yang akan memfokuskan kepada sektor komoditi seperti sawit, getah, kayu kayan, kenaf dan lada.

Selain itu, karnival yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini sehingga esok melibatkan pelbagai program kerjaya dibawah PERKESO, selain daripada Webinar dan sesi temu duga secara dalam talian.

“Hari ini PERKESO juga akan menyampaikan taklimat mengenai Plan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANAKERJAYA 2.0) dan juga portal MyFutureJobs pada sebelah pagi diikuti dengan sesi Webinar: Peluang Kerjaya dalam Sektor Agrkomoditi pada sebelah petang.

“Saya percaya taklimat ini memberi pendedahan oleh pihak PERKESO kepada pihak industri mengenai inisiatif subsidi upah yang boleh dimohon bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh pihak majikan kesan daripada pandemik Covid-19.

“Taklimat berhubung MyFutureJobs membolehkan pekerja memahami langkah-langkah dan syarat untuk memohon pekerjaan yang ditawarkan melalui portal pekerjaan negara.

“Karnival ini juga akan diteruskan dengan sesi temu duga secara maya pada hari esok,” ujarnya seraya berharap temu duga sedemikian dapat diisi lebih ramai warga tempatan. – HARAKAHDAILY 9/3/2021