Ziarah KP Harakah, Dr Khairudin sampaikan bantuan

- Advertisement -

SEREMBAN: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Dato’ Dr Mohd Khairudin Aman Razali telah menyampaikan sumbangan kepada Ketua Pengarang Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob bagi meringankan beban perbelanjaan perubatan beliau dan isterinya.

Sumbangan disampaikan melalui Setiausaha Politiknya, Ustaz Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin yang datang menziarahi Wan Nordin di kediamannya di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Turut bersama dalam ziarah itu adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Haji Rafie Mustapha, Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Badzli Bakar, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor, Ustaz Muhammad Najhan Abdul Halim, mantan Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Mohd Nazree Haris dan isteri.

- Advertisement -

Dalam ziarah tersebut Ustaz Mohd Kamal Nazmi yang mewakili Dr Khairudin turut bertanyakan perkembangan rawatan membabitkan Wan Nordin dan isterinya.

Sejak November lalu, Wan Nordin berdepan masalah sakit tulang belakang, saraf dan darah tinggi yang serius.

Selepas rawatan kiropratik pada awal Disember, beliau masih lagi berdepan masalah yang sama, namun telah mampu berjalan tidak seperti sebelum ini.

Sementara isterinya, Ustazah Suraini Ab Hamid pula menghadapi masalah pendengaran di mana telinga sebelah kanannya tidak berfungsi, selain telinga kiri hanya mampu mendengar sekitar 30 peratus.

Pun begitu dengan bantuan pelbagai pihak, pada minggu lepas alat bantu pendengaran telah ditempah untuk beliau. – HARAKAHDAILY 8/3/2021

- Advertisement -