Wanita cekal depani pandemik Covid-19

- Advertisement -

ARAU: Wanita antara kelompok yang terjejas akibat pandemik Covid-19, namun golongan itu tetap cekal mendepani cabaran bagi meneruskan kelangsungan hidup yang semakin mencabar.

Ketua Dewan Muslimat PAS Perlis Ustazah Latifah Mat berkata, pandemik yang berlaku sekarang mengubah kehidupan normal masyarakat termasuk sesi persekolahan secara bersemuka ditangguh dalam tempoh begitu lama.

Berikutan itu katanya anak-anak terpaksa mengikuti pembelajaran secara atas talian di rumah masing-masing.

“Situasi itu memerlukan komitmen ibu bapa untuk memastikan anak-anak meneruskan pengajian walaupun berada di rumah,” katanya ketika ditemui selepas program Home Make Over di Kampung Jelempok semalam.

- Advertisement -

Menurutnya kaum wanita menjadi kelompok terpenting semasa pandemik Covid-19 terutamanya dalam mengurus hal ehwal rumah tangga.

“Wanitalah yang menjadi guru di rumah, tukang masak malah lebih membebankan jika mereka juga terpaksa bekerja dari rumah.

“Apa yang berlaku itu bertepatan dengan tema sambutan Hari Wanita yang disambut setiap 8 Mac di mana tahun ini bertema Wanita Bangkit Mendepani Cabaran, ujarnya.

Latifah juga berkata, apa yang itu memerlukan ketahanan mental dan fizikal untuk memastikan kehidupan keluarga lebih teratur.

Beliau turut mengajak wanita khususnya surirumah berganding bahu dan saling menyokong antara satu sama lain bagi menghadapi cabaran yang berlaku sekarang.

“Dewan Muslimat PAS Perlis menubuh khidmat sokongan melalui NGO bagi membantu wanita terutamanya aspek pengurusan emosi.

“Antara program yang akan diadakan termasuk bengkel kaedah pengendalian stress, kesedaran hak undang-undang wanita, mendidik anak-anak dalam Islam dan pelbagai lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2021

- Advertisement -