Terserah kepada mereka – Nik Abduh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu demi satu wakil rakyat dari Pakatan Harapan (PH) mengumumkan keluar dari gabungan itu dan menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Baru-baru ini dua wakil rakyat dari parti PKR bertindak keluar parti sekali gus nyatakan hasrat menyokong kerajaan PN, dan terbaharu dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dari DAP dan Gerakan membuat langkah sama.

Langkah ini bukan hanya melibatkan tindakan keluar daripada pakatan pembangkang kepada pakatan kerajaan, malah melibatkan antara rakan sekutu.

ADUN dari Parti Amanah Negara (PAN) mengambil tindakan memilih keluar dari PAN untuk sertai parti rakan sekutunya iaitu PKR.

Lantaran itu, Timbalan Presiden PAN menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap rakan sekutunya PKR yang menerima penyertaan tiga ADUN dari PAN ke PKR.

- Advertisement -

Luahan Timbalan Presiden PAN itu dibalas Rafizi Ramli yang menyifatkan rakan sekutunya tidak reti menghargai jasa PKR yang telah membantu parti serpihan PAS itu menubuhkan PAN.

Manakala Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan tindakan ahli PAN sertai PKR bukan perkara luar biasa.

Mengulas isu berkenaan, Harakahdaily mendapatkan pandangan dari Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan budaya ‘melompat’ masih terus berlaku dan ia seolah diterima oleh kebanyakan parti.

Ujarnya, sikap PAS hanya menerima budaya itu sebagai proses demokrasi yang dibenarkan namun PAS kekal menolak perbuatan ‘melompat’ dan melihatnya sebagai tidak berintegriti.

“PAS tidak berminat mendorong kepada budaya ‘lompat’ keluar daripada atau masuk ke dalam PAS,” ulasnya yang dihubungi Harakahdaily.

Ujarnya, apabila mana-mana pihak menghalalkan sesuatu untuk kepentingan pihaknya, maka pihak berkenaan tidak wajar marah jika lawannya menghalalkan yang sama untuk melawan balik.

Tambahnya, itu adalah balasan dan hukuman yang bersamaan dengan apa yang dilakukan.

Beliau mengulas demikian berikutan PKR mendakwa wujud langkah terancang oleh pihak tertentu yang cuba melemahkan gabungan PH susulan beberapa wakil rakyat dari gabungan itu memutuskan menyokong parti kerajaan.

“Oleh kerana budaya ‘lompat’ masih berterusan dan diterima oleh kebanyakan parti, PAS bersikap menerimanya sebagai sebahagian daripada proses demokrasi yang dibenarkan.

“Nyata, kesepakatan untuk menolak politik lompat masih buntu penyelesaiannya. PAS jaga PAS dengan integriti, amanah dan akhlak politik Islam demi kemaslahatan negara dan rakyat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Beliau turut menyifatkan PH telah lama berpecah sejak setahun lalu dan perpecahan itu belum pernah reda.

Justeru, beliau berpandangan tidak pelik jika budaya ‘lompat’ parti ini berlaku lagi dan katanya langkah itu akan berterusan sehinggalah ditemui pengakhirannya.

“Terserah kepada mereka,” ujarnya mengakhiri perbualan dengan Harakahdaily.

- Advertisement -