Perkukuh Pemuda PN Selangor untuk manfaat rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Variasi politik anak muda perlu kepada sentuhan dan pendekatan bagi memberi ruang merasai kebersamaan dalam melakukan perubahan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS), Ustaz Hanafi Zulkapli berkata pemimpin anak muda wajar mengurus kepelbagaian dengan baik agar segala apa sahaja yang digerakkan mampu memberi manfaat kepada rakyat.

“Di bahu kita (anak muda) terbeban amanah mencorak idealisme politik yang lebih terbuka demi masa depan negara.

- Advertisement -

“Jika kita mengira perbezaan itu sebagai satu ancaman, nescaya pendekatan kita pasti akan membawa kepada jalan penyelesaian yang menghitung untung rugi pihak kita sahaja.

“Namun, jika kita meletakkan perbezaan itu sebagai kekuatan buat kita, saya cukup yakin gabungan perbezaan itu akan membawa satu ketumbukan kuasa politik yang besar yang menguntungkan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.

Terdahulu, beliau bersama pimpinan Pemuda PAS Selangor telah mengadakan pertemuan dan perbincangan santai bersama kepimpinan Armada Selangor dalam usaha memperkukuhkan gerakan pemuda Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

“Sesi pertemuan malam ini (tadi) membuka pintu pengenalan yang tertutup dek persepsi yang sentiasa menyelubungi diri dan sikap kita.

“Terima kasih semua, ayuh! Kita mencorak politik anak muda dengan lebih inklusif dan terbuka membawa perbezaan dan berpegang dengan titik persamaan demi kepentingan Islam, rakyat, dan negara,” kata Hanafi yang juga Ketua Pemuda PN Selangor

Turut sama hadir Naib Ketua DPPNS, Muhammad Fadzli Abu Bakar; Ketua Penerangan DPPNS, Ustaz Sukri Omar; Setiausaha DPPNS, Muhammad Hanif Jamaluddin dan Ketua Bahagian Subang merangkap Naib Ketua Pemuda Perikatan Nasional Selangor, Asyraf Halim. – HARAKAHDAILY 8/3/2021

- Advertisement -