Pembangunan: PN berpegang prinsip pemerkasaan wanita

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita yang merupakan salah satu tonggak penting dalam pembangunan negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pencapaian dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara bukan sahaja bagi aspek sosial, politik dan ekonomi, malah merangkumi segara aspek pembangunan negara.

Katanya, dapatan kajian menjangkakan pertambahan 30 peratus penyertaan kaum wanita dalam pasaran buruh mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara di antara tujuh hingga 12 peratus setahun.

“Walaupun lakaran kejayaan demi kejayaan terus dicapai, kita tidak harus berpuas hati. Tugas untuk memperkasa wanita perlu diperkemaskan kerana wanita masih dibelenggu dengan isu-isu stigma dan stereotaip yang mengehadkan peranan mereka dalam bidang tertentu dengan peranan tradisi wanita khususnya dalam penjagaan dan pengasuhan.

“Kecenderungan mereka menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan gangguan seksual di tempat kerja. Isu gejala sosial seperti penderaan anak, sugar daddy dan sumbang mahram,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan yang berlangsung secara maya di laman Facebook Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, masih ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) belum mempunyai wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah (ALP).

Muhyiddin berkata, sehingga Oktober tahun 2020 hanya 25.4 peratus daripada 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia berjaya menyambut komitmen mengisi sekurang-kuranya 30 peratus ALP wanita.

Katanya, beban berganda atau double burden yang dihadapi ramai wanita berkerjaya di mana mereka perlu mengimbangi antara tuntutan kerja dengan pengurusan rumah tangga pada satu-satu masa.

“Berdasarkan dapatan kajian, didapati wanita meluangkan masa lebih 63.6 peratus berbanding lelaki dalam tugasan penjagaan yang tidak berbayar atau unpaid care work.

“Selain itu, masih kurangnya pembabitan semua pihak dalam menyediakan persekitaran yang menyokong dan menggalakkan pemerkasaan wanita. Ini secara tidak langsung, silent motherhood penalty dilihat seolah-olah menjadi suatu perihal diterima semua pihak,” katanya.

Beliau tidak menafikan bahawa pandemik Covid-19 telah menyebabkan perkara ini semakin kritikal dan ketara.

Dalam pada itu, Muhyidin berkata beberapa kemudahan diumum kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi melalui inisiatif PRIHATIN, PENJANA, PERMAI, MyDIGITAL dan Rangka Tindakan (Blueprint) Eknonomi Digital Malaysia selain Belanjawan 2021 yang memberi faedah secara langsung kepada wanita dalam fasa pemulihan negara akibat pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, jelasnya kerajaan akan menyediakan insentif yang dikenali sebagai MyKasih Kapital iaitu suntikan modal perniagaan.

“Sebagai contoh dalam bidang e-dagang atau dropship dengan modal maksimum sebanyak RM1,000 kepada sekurang-kurangnya 2,000 orang penerima yang berkelayakan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/3/2021

- Advertisement -