Vaksin: Lebih tiga juta daftar setakat 3 petang ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas 11 hari pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera dibuka, jumlah individu yang mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kini mencecah 3,244,641 orang, setakat 3 petang ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi infografik di Twitter beliau hari ini memaklumkan angka kumulatif tersebut berdasarkan maklumat rasmi daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

- Advertisement -

Pendaftaran vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera dibuka bermula 24 Feb lepas dan ia merupakan antara lima kaedah pendaftaran untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam negara.

Selain MySejahtera, satu lagi kaedah secara dalam talian ialah melalui laman sesawang khas www.vaksincovid.gov.my.

Bagi pendaftaran secara manual, orang ramai boleh menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir di fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman. – BERNAMA

- Advertisement -