Pinda Akta 728 perkukuh penguatkuasaan MAQIS

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Pindaan Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) akan dibawa ke Parlimen untuk mendapat kelulusan bertujuan bagi memperluas serta memperkukuh bidang penguatkuasaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Ketua Pengarahnya, Saiful Yazan Alwi berkata, pindaan akta itu antara lain bertujuan menangani isu penyeludupan produk pertanian, termasuk bekalan daging import dan telah melalui proses penelitian dari aspek perundangan oleh Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata, buat masa ini, bidang kuasa MAQIS hanya tertakluk di pintu masuk sama ada di laut, darat atau udara bagi pemeriksaan terhadap produk pertanian.

- Advertisement -

Menerusi pindaan akta itu, pihaknya menjangkakan aspek penguatkuasaan akan menjadi lebih berkesan dan mampu menangani isu penyeludupan produk pertanian dengan lebih baik.

“Ketika ini, bidang kuasa MAQIS hanya di pintu masuk, stesen kuarantin dan premis kuarantin swasta.

“Dengan pindaan ini skop penguatkuasaan MAQIS boleh diperluasakan dan mampu ke seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak kerana mereka memilih menggunakan ordinan tersendiri dan MAQIS tidak terlibat di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, katanya, MAQIS juga akan lebih agresif dalam menangani isu penyeludupan produk pertanian termasuk bekalan daging import demi memastikan keselamatan makanan negara khususnya berkenaan status halal dan haram.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika majlis serahan ayam sejuk beku kepada Zoo Negara di Komplek MAQIS Rantau Panjang, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 8,136 kilogram ayam sejuk beku hasil rampasan pihak jabatan MAQIS diserahkan kepada Zoo Negara bertujuan memastikan bekalan makanan mencukupi dan selamat dimakan oleh haiwan.

Jumlah keseluruhan 8,136 kilogram ayam sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM66,088.00 merupakan hasil rampasan membabitkan kes dari Disember tahun lalu hingga Januari 2021, katanya.

Kesemua ayam sejuk beku itu telah ditahan semasa cuba dibawa masuk dari negara jiran ke Malaysia melalui pangkalan-pangkalan haram tebing Sungai Golok di sekitar Rantau Panjang.

Hasil siasatan mendapati kesemua dagangan itu telah dibawa masuk melalui jalan yang tidak diwartakan tanpa sebarang dokumen seperti permit import yang sah daripada MAQIS. – HARAKAHDAILY 7/3/2021

- Advertisement -