PAS kekal bersama tiga parti utama PN

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS mengulangi pendirian untuk kekal bersama tiga parti utama yang kini telah membentuk Perikatan Nasional (PN).

Hanya penyatuan ummah yang erat akan mengukuhkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, penyatuan ummah dari kalangan masyarakat Melayu khususnya termasuk bumiputera serta rakyat pelbagai kaum di negara ini menguatkan lagi penyatuan itu.

Menurutnya, dalam konteks kerajaan hari ini penyatuan ummah dari parti-parti Melayu Islam mesti bersatu bagi meneruskan sebuah kerajaan yang ada dengan lebih kukuh bagi menaungi rakyat di negara ini.

- Advertisement -

“Atas dasar itu juga kita sebelum ini yang telah lama bermusuh dalam politik dengan Umno hari ini kita bersatu demi menjaga kekuatan ummah dan perpaduan demi masa depan negara.

“Kita mengenepikan sengketa lama demi Islam, demi rakyat dan negara yang akhirnya bersatu demi penyatuan ummah,” ujarnya kepada media selepas meraikan bekas pemain bola sepak Kelantan yang pernah mengharumkan negeri dan kebangsaan di sebuah hotel di sini, petang semalam.

Beliau seterusnya memberitahu, penyatuan ummah berkenaan bukan hanya tertentu pada PAS dan Umno semata-mata.

Tambah Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), mana-mana parti yang ingin turut serta membangunkan negara khususnya parti Melayu Islam boleh menyertainya sebagaimana yang terkandung dalam piagam penyatuan ummah.

Menurutnya, dalam perkembangan ini parti Bersatu adalah sebahagian daripada yang dimaksudkan dalam piagam berkenaan.

“Tidak ada sebab kita tidak boleh mengadakan kerjasama dengan parti itu demi penyatuan Melayu Islam dan pentadbiran negara yang lebih baik,” ujarnya.

Beliau berpendapat, contoh kerjasama yang erat di Sabah dan Sarawak perlu diambil untuk mengukuhkan kerjasama yang sama di Semenanjung.

Sehubungan itu, beliau berharap perbincangan untuk pengukuhan ummah demi kerajaan dan rakyat perlu diadakan lagi dari semasa ke semasa.

“Untuk kekalkan sebuah kerajaan, kita perlu majoriti yang kuat pada PRU15, kerana itu kita mesti memperkasakan PN untuk sebuah kerajaan yang kukuh bukan hanya sehingga PRU15 sahaja,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/3/2021

- Advertisement -