PAS arah ahli daftar terima suntikan vaksin Covid-19

- Advertisement -

KOTA BHARU: Semua ahli PAS diarah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera sebagai satu langkah menangani penularan wabak tersebut.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, usaha itu merupakan langkah kerajaan melalui Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula 24 Februari lalu.

Beliau berkata, suntikan yang diberikan secara sukarela, tiada paksaan dan percuma kepada semua rakyat membuktikan keprihatinan kerajaan untuk melindungi kesihatan dan kehidupan rakyat.

“Menjadi tanggungjawab rakyat untuk patuh arahan ini untuk kebaikan kita sendiri, kalau orang hendak jaga kebaikan dan kesihatan kita, tiba-tiba kita tidak mahu, ini satu yang amat malang.

- Advertisement -

“Bagi kita, ahli PAS, kita jelas, Majlis Syura Ulamak menjelaskan bahawa vaksin ini satu yag wajib dipatuhi, bagi ahli PAS saya menyeru supaya semua mendaftar untuk ambil vaksin ini,” katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian bantuan tablet dan laptop untuk pembelajaran kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan di sini, hari ini. (Foto atas)

Pada majlis itu seramai 20 pelajar dari keluarga miskin dan ibu tunggal dalam Dun Tanjung Mas menerima bantuan itu yang disumbangkan oleh pejabat Ahli Parlimen Kota Bharu.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Mas merangkap Ketua Muslimat Kawasan Kota Bharu, Rohani Ibrahim dan Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Kota Bharu, Ustaz Zahari Abdul Rahman.

Media sebelum ini melaporkan sehingga jam lapan pagi hari ini seramai 2,990,577 individu sudah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

Selangor mencatatkan pendaftaran tertinggi iaitu seramai 991,181 yang diikuti dengan Johor 335,537 individu, Kuala Lumpur pula 292,983, sementara Sarawak 240,630.

Pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera merupakan antara lima kaedah pendaftaran yang disediakan kerajaan untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam negara.

Selain aplikasi MySejahtera, kerajaan turut mewujudkan kaedah pendaftar secara dalam talian iaitu laman sesawang khas www.vaksincovid.gov.my dan pendaftaran secara manual.

Ia seperti menghubungi talian hotline, akan dimaklumkan kemudian, hadir di klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman. – HARAKAHDAILY 7/3/2021

- Advertisement -