Switzerland: Zii Jia, empat lagi mara ke separuh akhir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia dan empat lagi wakil Malaysia meneruskan kejayaan mereka mara ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Switzerland pada Jumaat.

Pemain pilihan kedua kejohanan itu menepati ramalan apabila menyingkirkan pemain India Sai Praneeth 21-14, 21-17 dalam masa 45 minit di St Jakobshalle, Basel, demikian menurut Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pemain berusia 22 tahun dari Kedah itu bakal memburu laluan ke final apabila bertemu pemain nombor 25 dunia Kunlavut Vitidsarn dari Thailand pada perlawanan separuh akhir.

- Advertisement -

Pasangan beregu pilihan utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mara ke separuh akhir selepas mengetepikan gandingan Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 21-18, 9-21, 21-16 untuk menentang Mark Lamsfuss- Marvin Seidel dari Jerman.

Pasangan beregu wanita yang semakin menyinar Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan rentak kemenangan mereka apabila menyingkirkan Amalie Magelund-Freja Ravn 21-19, 21-10 dari Denmark.

Gandingan muda itu akan diuji apabila dijadualkan berhadapan dengan senior mereka Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, pasangan pilihan kedua kejohanan itu, yang menewaskan Rachel Honderich-Kristen Tsai dari Kanada 22-20, 21-16.

Bagi kategori beregu campuran, pasangan pilihan kelima Tan Kian Meng-Lai Pei Jing perlu bersaing selama sejam 10 minit untuk mengalahkan Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa dari India 21-17, 16-21, 21-18.

Untuk mara ke final, mereka perlu menyingkirkan pasangan dari Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Bagaimanapun, perjuangan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, terhenti apabila tewas kepada Mathias Christiansen-Alexandra Boje dari Denmark 21-14, 19-21, 15-21.

Keputusan suku akhir yang lain

(Nota: Pemain Malaysia kecuali dinyatakan; [] pemain pilihan)

Beregu Lelaki:

[2] Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty (IND) mn Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 12-21, 21-19, 21-12

[6] Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (DEN) mn Low Hang Yee-Ng Eng Cheong 21-17, 16-21, 21-13

Beregu campuran:

[6] Thom GICQUEL-Delphine DELRUE (FRA) mn [4] Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie 14-21, 21-14, 21-19. – BERNAMA

- Advertisement -