Peti, buku log bendung penyelewengan petrol, diesel

- Advertisement -

TUMPAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), memperkenalkan pelaksanaan peti dan buku log lawatan penguatkuasa di stesen minyak bertujuan mencegah ketirisan dan penyelewengan bahan bakar bersubsidi ke negara jiran.

Pelaksanaan peti dan buku log lawatan berkenaan khususnya di stesen minyak berhampiran sempadan mampu mencegah ketirisan.

Menterinya, Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi, berkata peti dan buku log berkenaan membolehkan penguat kuasa KPDNHEP memantau kenderaan asing yang masuk untuk mengisi minyak di stesen yang berada di sempadan negara.

- Advertisement -

Katanya, kaedah omnipresence anggota pihak berkuasa itu juga mampu memberi impak yang lebih berkesan.

Sambungnya, pegawai bertugas akan merekod laporan dalam buku log selepas pemeriksaan atau lawatan selesai.

“Langkah itu bertujuan untuk memberi mesej kepada pelaku tentang kesalahan berkaitan agar tidak sewenang-wenangnya melanggar undang-undang,” ujarnya kepada media selepas pelaksanaan peti dan buku log lawatan penguat kuasa di stesen minyak Petronas Pasir Pekan, di sini, hari ini.

Alexander berkata, harga runcit petrol di negara ini adalah antara yang terendah di ASEAN.

Tambahnya, kerana itu ia menyebabkan stesen minyak berhampiran sempadan negara menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan penyelewengan petrol serta diesel.

Sehingga November 2020, katanya, terdapat 281 stesen minyak yang terletak berhampiran sempadan negara dan sentiasa dijalankan pemantauan. – HARAKAHDAILY 6/3/2021

- Advertisement -