Perpecahan merugikan Melayu, Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyeru semua pihak terutamanya pemimpin-pemimpin parti memperkasakan perpaduan ummah sebagaimana yang dituntut agama.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, ini setelah pihaknya meneliti beberapa kenyataan pemimpin mutakhir ini yang memperlihatkan ke arah perpecahan rakyat dan ummah.

Tegasnya, perpecahan tidak seharusnya berlaku kerana bertentangan dengan ajaran Islam dan merosakkan bangsa serta menghuru-harakan negara.

Ujarnya lagi, ia juga bukanlah seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan para pemimpin sentiasa mengutamakan seruan kepada perpaduan bangsa bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

- Advertisement -

“Malangnya ada suara-suara sumbang dalam kalangan pemimpin politik yang menyeru dan mengajak kepada perpecahan ummat dan rakyat berdasarkan kafilah-kafilah politik. Ini adalah suara dan bisikan syaitan yang sangat jahat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada HarakahDaily, hari ini apabila diminta mengulas mengenai perkembangan kerjasama parti tiga serangkai komponen kerajaan itu.

Mohd Zai berkata, pihaknya akan terus istiqamah memainkan peranan penting bagi mengerakkan penyatuan umat Islam sebagaimana lakaran sejarah besar himpunan ICERD pada 8 Dis 2019 yang disertai rakyat, NGO dan parti politik.

“Himpunan terbesar setakat ini yang menjadi lambang kepada perpaduan ummah dan penyatuan rakyat. Sesiapa yang menentang prinsip ini pasti akan rebah dan tewas.

“Rakyat berkuasa melantik pemimpin yang bijaksana, mengutamakan ummah dan berkuasa menolak pemimpin yang mementing diri dan peribadi iaitu pemimpin yang tidak amanah dan mengamalkan rasuah.

“Selamatkan negara daripada jurang kehancuran perpecahan kerana ia akan merosakkan agama, bangsa dan negara.

“Membina negara yang bersatu padu, bermuafakat, memperkasakan perpaduan ummah adalah adalah suatu kewajiban dan menjadi amanah tangungjawab kepada semua pemimpin dan rakyat,” kata Mohd Zai.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan pada Jumaat, dalam kenyataannya menyatakan PAS komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama tiga serangkai utama parti Melayu/Pribumi UMNO, BERSATU dan PAS, bersama-sama rakan sekutu yang lain demi kelangsungan pemerintahan negara. – HARAKAHDAILY 6/3/2021

- Advertisement -