KPDNHEP cadang peniaga guna pembayaran digital

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mencadangkan semua peniaga menggunakan sistem pembayaran digital berbanding kaedah biasa bagi mengurangkan sentuhan.

Menterinya, Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi, berkata melalui kaedah e-dompet atau kad debit, sekali gus mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Menurutnya, kaedah berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha KPDNHEP menerusi pelaksanaan norma baru yang diperkenalkan kerajaan.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Kempen Norma Baharu Covid-19 Sektor Peruncitan di Pasar Siti Khadijah, di sini hari ini.

“Kempen ini bagi menyahut seruan kerajaan bagi memastikan semua sektor sama ada ekonomi, keselamatan mahupun sosial mengambil tanggungjawab untuk memberi kesedaran pada orang awam supaya mematuhi norma baharu berkenaan,” ujarnya.

Katanya, Pasar Siti Khadijah merupakan pasar kedua dikunjungi menerusi siri kempen norma baharu Covid-19 bagi sektor peruncitan.

Tambahnya, selain itu Pasar Payang di Kuala Terengganu, Pasar Satok di Kuching, Pasar Kraftangan di Kota Kinabalu, Pekan Rabu di Alor Setar dan Pasar Chowrasta di Georgetown antara yang terpilih untuk kempena berkenaan.

Katanya, pemilihan pasar utama berkenaan kerana ianya menjadi tumpuan pengguna terutama pelancong domestik.

“Saya juga meminta agar peniaga dapat mematuhi Perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Peruncit) 1993 AKHAP 2011 dengan memaparkan tanda harga ke atas semua produk yang dijual.

“Dengan ini pembeli dapat mengurangkan masa keberadaan di premis perniagaan, sekali gus menurunkan risiko penularan Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2021

- Advertisement -