Sembilan projek tingkat bekalan air di Kelantan

KOTA BHARU: Sebanyak sembilan projek meningkatkan bekalan air dilaksanakan di Kelantan yang dijangka siap dalam tempoh Mac hingga Mei tahun ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek itu akan dilaksanakan di jajahan Kota Bharu, Bachok, Tumpat dan beberapa jajahan lain.

“Insya-Allah kita ikhtiar sebaik mungkin supaya bekalan air diterima rakyat Kelantan dalam tempoh yang ditetapkan tersebut,” katanya pada kenyataan hari ini.

Advertisement

Projek terbabit termasuk pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Mini di Teluk Mesira Bachok yang melibatkan peruntukan RM2.75 juta yang membabitkan agihan air di Tawang dijangka siap pada April hadapan.

Selain itu pembaikan paip air terawat di Jambatan Tanjung Hilir Bachok melibatkan kos RM338,431 juga dijangka siap pada April 2021.

Di Kota Baru pula melibatkan projek pembinaan LRA Kampung Telok dengan kapasiti 30 juta liter sehari membabitkan kos RM48 juta.

Projek tersebut melibatkan agihan di Demit, Chempaka dan Panchor juga dijangka siap pada April.

Penggantian paip lama pula melibatkan kos RM23.3 juta melibatkan agihan air di Kota Lama dan Tanjong Mas.

Turut dinaik taraf dengan membina telaga A di LRA Chicha degan kos RM350,300 yang melibatkan agihan air di Pasir Tumboh, Melor, Demit, Panchor, Tawang, Jelawat dan Perupok dan dijangka siap pada akhir bulan ini.

Tuan Ibrahim juga berkata, projek pembinaan Telaga B di LRA Chicha dengan kos RM370,300 siap pada 1 Mac lalu. – HARAKAHDAILY 5/3/2021