Pusat peruntuk RM100 juta bantu sekolah agama, pondok

- Advertisement -

PASIR MAS: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM100 juta kepada sekolah agama, pondok dan tahfiz di seluruh negara yang terjejas akibat banjir dan bantuan Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sumbangan berkenaan diberi bagi meringankan beban institusi pendidikan Islam yang terjejas.

Katanya, sumbangan di Kelantan sahaja sejumlah RM150,000 diperuntuk untuk pembangunan pondok, tahfiz dan sekolah agama.

- Advertisement -

“Kunjungan hari ini saya berkesempatan melawat di sini (Pondok Daril Ulum) selain pondok di Kuala Krai dan Pondok Lubok Tapah.

“Saya lancarkan tiga program utama ini sempena lawatan saya ke Kelantan kali ini,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan kepada penerima di Maahad Tahfiz Daril Ulum, Meranti hari ini.

Seramai 10 penerima yang merupakan mangsa banjir menerima sumbangan berkenaan disampaikan Menteri Hal Ehwal Agama.

Turut hadir anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Mohd Nassruddin Daud, Ahli Parlimen Pasir Mas Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pengarah JAKIM Dato’ Abdul Aziz Jusoh.

Dr Zulkifli juga berkata, dana yang disalurkan tersebut sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Yayasan Waqaf dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

“Kita santuni hak mereka sebaiknya di mana kita agihkan sumbangan daripada sumber kerajaan untuk golongan memerlukan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/3/2021

- Advertisement -